suria

Khairy Harap FAM Turunkan Harga Tiket Final Piala FA

KANGAR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menurunkan harga tiket final Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan PKNS FC, Sabtu ini.

Pada masa sama, beliau turut berharap badan induk bola sepak negara itu dapat menarik balik pemansuhan tiket kanak-kanak bagi aksi final di Stadium Shah Alam.

"Ini keputusan yang dibuat FMLLP (Football Malaysia Limited Liability Partnership), tetapi dalam Lembaga FMLLP ada wakil FAM.

"Jadi semasa mesyuarat Exco FAM esok (Isnin), mereka boleh buat keputusan dan maklumkan kepada FMLLP untuk kurangkan harga tiket yang kini berharga RM50 kepada RM40 termasuk kemudahan tiket kanak-kanak seperti amalan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program#FitMalaysia peringkat Perlis di sini pada Ahad.

Program itu dirasmikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan turut disertai Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

FMLLP, sebuah entiti swasta yang diberi tanggungjawab menguruskan Liga Malaysia bermula musim ini, sebelum ini mengambil keputusan menaikkan harga tiket kepada RM50 berbanding RM40 sejak 2012 dengan alasan kenaikan kos selain memansuhkan tiket kanak-kanak bagi menangani penyalahgunaannya. 

"Kita tidak mahu apabila pengurusan diswastakan, semua kemudahan tidak disediakan, hal ini penting untuk dipertimbangkan kerana mengambil kira aspek tanggungjawab kita kepada peminat bola sepak negara," katanya.

Sebanyak 60,000 tiket akan dijual bermula jam 9 pagi esok, dengan tiket untuk penyokong PKNS dijual di Stadium Shah Alam manakala bagi penyokong JDT pula, ia dijual di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos.

Baki 10,000 tiket lagi akan dijual secara dalam talian. -Bernama

Artikel Lain