suria

Abang Terlajak Laris Nafi Dakwaan MB Kedah

KOTA DAMANSARA: Pengasas D'Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman menafikan dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bahawa penolakan tajaan syarikat itu terhadap Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bernilai RM30 juta bagi mengelakkan hak rakyat negeri itu tergadai.

Aliff mempersoalkan dakwaan Ahmad Bashah yang juga Presiden KFA seolah-olah beliau mahu merampas tanah milik rakyat Kedah berhubung cadangan pembangunan tanah berkeluasan 60 hektar di Jabi, Pokok Sena.

"Ingin saya perjelaskan bahawa tanah itu adalah cadangan pembangunan usahasama antara D'Herbs dan anak syarikat kerajaan negeri Kedah.

"Ia adalah cadangan pembangunan dengan kerjasama anak syarikat negeri kedah, bukannya cadangan merampas tanah di Kedah.

"Ia bukan tanah secara percuma untuk saya mahupun kaum kerabat saya, tetapi untuk membangunkan negeri Kedah," katanya pada sidang media di Wisma D'Herbs di sini, Jumaat.

Ahmad Bashah menerusi akaun Facebook miliknya pada Khamis menjelaskan, beliau bertanggungjawab memastikan hak rakyat negeri ini tidak tergadai berhubung penolakan tajaan D'Herbs berjumlah RM30 juta kepada KFA.

Dalam pada itu, Aliff turut kecewa dengan penyebaran mesej Bendahari KFA, Mohd Yusof bahawa menolak penajaan D’Herbs dengan jawapan kerajaan negeri dan menteri besar tidak akan menggadaikan negeri, yang dikaitkan dengan isu tanah.

Aliff berkata, beliau amat kecewa dengan kenyataan Ahmad Bashah yang sedia maklum dengan cadangan pembangunan itu sejak lebih dua bulan lalu.

"Kalau tidak boleh pun, kenapa tidak berbincang dengan kami secara baik, kenapa buat kenyataan sebegitu?

"Kalau betul ada bukti saya ambil tanah secara percuma, saya Aliff Syukri Kamarzaman bagi RM100 juta," katanya.

Ditanya adakah beliau akan mengambil tindakan undang-undang berhubung dakwaan yang dilemparkan kepadanya, Aliff berkata, beliau hanya mahu membersihkan namanya yang tercemar dan dikecam teruk oleh masyarakat terutama rakyat Kedah.

"Saya buat sidang media ini bukan hendak memburukkan sesiapa. Saya hanya membersihkan nama saya, dan saya tak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

"Bagaimanapun saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman malu sekiranya mereka terus mengeluarkan kenyataan fitnah kepada saya," tegas Aliff.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar pada Rabu lalu berkata, keputusan penolakan tajaan itu dibuat selepas mendapati ada beberapa syarat yang ditetapkan oleh  pihak penaja sukar untuk diterima KFA.

Pada 23 April lalu, Aliff mengesahkan D'Herbs bersetuju menaja RM30 juta untuk tempoh tiga tahun untuk program pembangunan bola sepak serta membaiki Stadium Darul Aman.

Kedah, KFA, Aliff Syukri Kamarzaman

Artikel Berikut

Tan Cheng Hoe Kecewa

Artikel Lain