suria

Kedah Gagal Kutip Tiga Mata

Ahmad Fakri menjaringkan gol awal untuk Kedah sebelum diikat pemain Pahang, Nejc Potiokar.

KEDAH gagal mengakhiri malang seri dalam saingan Liga Super apabila terikat 1-1 ketika bertemu Pahang di Kuantan pada Rabu.

Skuad Helang Merah sebelum ini tewas kepada T-Team dan seri kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor.

Pasukan pelawat memulakan perlawanan dengan menguasai bahagian tengah tetapi gagal melepasi pertahanan Pahang untuk melakukan percubaan apabila tuan rumah lebih bertahan.

Pada minit ke-15 penyerang Pahang Dalibor Volas memiliki peluang terbaik untuk menjaringkan gol tetapi tendangannya dari jarak lima meter tinggi melewati palang gol Kedah.

Lima minit kemudian Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe mengeluarkan Halim Shaari yang gagal beraksi dengan baik dan memasukkan Ahmad Fakri Saarani.

Pada minit ke-25 Ahmad Fakri membalas kepercayaan Cheng Hoe dengan menanduk masuk bola ke dalam gol Pahang dari jarak dekat bagi pelawat mendahului 1-0.

Gol ini hasil tendangan sudut Baddrol Bakhtiar dan ditanduk oleh Rizal Ghazali sebelum Ahmad Fakri menyambutnya ke dalam gol.

Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan tuan rumah kembali mengatur serangan dan hasilnya D. Saavindran hampir menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-35.

Pada separuh masa kedua barisan pemain Kedah mula kelihatan letih dan peluang itu berjaya dimanfaatkan Pahang.

Pada minit ke-63 penyerang Pahang Nejc Potiokar menanduk bola kepada rakannya German Ezequiel Pacheco untuk menghasil gol penyamaan.

Hasil jaringan itu tuan rumah kembali memperolehi rentak untuk terus melakukan serangan.

Bagaimanapun kedudukan 1-1 kekal sehingga ke akhir permainan untuk memberi satu mata kepada kedua-dua pasukan.

Pahang, Kedah, Liga Super, seri

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain