SEVILLA terus menghidupkan peluang untuk menjulang trofi kejuaraan Liga Europa buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Athletic Bilbao 5-4 menerusi penentuan penalti pada aksi suku akhir di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan, awal pagi Jumaat.
Pasukan tuan rumah hampir tersingkir di gelanggang sendiri selepas tewas 1-2 tetapi hasil kemenangan di tempat lawan minggu lalu meletakkan kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 3-3.
Susulan itu, pasukan juara terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.
Kedua-dua pasukan terus mencipta sebarang gol pada babak pertama.
Namun, Bilbao terlebih dulu memecah kebuntuan menerusi jaringan Aritz Aduriz pada minit ke-57.
Dua minit kemudian, pemain Sevilla, Kevin Gameiro menyamakan kedudukan.
Ketika permainan berbaki 10 minit, Raul Garcia menceriakan penyokong pelawat apabila menjaringkan gol pada minit ke-80 yang mengheret permainan ke penentuan penalti.
Dalam satu lagi perlawanan berasingan, Villarreal menewaskan Sparta Prague 4-2.
Kemenangan di tempat lawan itu melengkapkan kemaraan sebuah lagi kelab Sepanyol dengan agregat kemenangan 6-3.
Sementara itu, juara 2009, Shakhtar pula mara bergaya ke separuh akhir selepas menundukkan Braga 4-0.
Gol Shakhtar dijaringkan Darijo Srna pada minit ke-25, Viktor Kovalenko (50) dan dua gol sendiri pemain Braga, Ricardo Ferreira pada kedua-dua babak permainan memberi kelebihan kepada kelab dari Ukraine itu.
Shakhtar mara dengan agregat kemenangan 6-1.


