suria

Ranking Ke-174 Dunia Sudah Dijangka - Khairy

Pemain-pekmain Harimau Malaysia kelihatan kecewa selepas hanya mencatat seri pada aksi perlawanan antarabangsa bertemu Macau 29 Mac lalu. Foto: M. Azhar Arif/The Star

SERDANG: Kedudukan Harimau Malaysia pada ranking ke-174 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) sudah dijangka, ekoran prestasi buruk pasukan pada ketika ini. 

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata kedudukan pasukan negara bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sehingga kini kualiti mereka masih tidak berganjak.

"Ranking bola jatuh bukan benda mengejutkan sebab tahap kualiti pasukan yang sedia ada... itulah kualiti mereka. Mungkin kalau boleh naik pun sedikit sahaja.

"Dengan kualiti pemain dan jurulatih yang kita ada hari ini... kita tidak mampu menjadi lebih baik," katanya kepada pemberita pada kejohanan Kriterium Berbasikal Remaja Malaysia (JCM) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini Sabtu.

Kedudukan terbaharu itu meletakkan Malaysia sebaris dengan beberapa negara yang tidak mempunyai kemudahan bola sepak yang lengkap seperti Samoa (170), Timor Leste (175), Bangladesh (177) dan Nepal (179).

Sebagai rekod, Malaysia berada pada kedudukan ke-171 dunia pada Januari dan Februari, sebelum naik pada 166 pada Mac lepas.

Kejatuhan mendadak ranking skuad kebangsaan itu berikutan kekalahan 0-2 kepada Arab Saudi pada perlawanan terakhir Kumpulan A pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di tempat lawan, 24 Mac lepas.

Selain itu, keputusan seri tanpa jaringan menentang pasukan ranking ke-190 dunia, Macau di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 28 Mac lepas, turut menjadi faktor kemerosotan ranking skuad kebangsaan.

Ranking terbaik yang pernah dicapai Malaysia ialah di kedudukan ke-75 pada 1993.

Mengulas mengenai skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang diundi bertemu Timor-Leste untuk perlawanan play-off satu Kelayakan Piala Asia 2019 yang dilangsungkan secara timbal balik pada 2 dan 7 Jun ini, Khairy berkata beliau percaya Harimau Malaysia boleh menewaskan Timor-Leste. 

"Mereka wajib menang. Kalau tidak menang, memang ada yang tak kena dan peluang untuk naik ranking semakin tipis," katanya. -Bernama

Artikel Lain