suria

Irfan Mahu Felda United Kekal Momentum

Irfan Bakti Abu Salim.

MARAN: Pengendali Felda United, Irfan Bakti Abu Salim mahu anak buahnya meneruskan momentum kemenangan untuk kekal menerajui Liga Super selepas merampas kembali takhta peneraju malam Jumaat.

Beliau yang enggan mendabik dada dengan kejayaan itu, berkata apa yang penting adalah untuk Felda United kekal fokus menghadapi lawan seterusnya.

Kemenangan 3-1 ke atas Selangor di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka di sini malam tadi membolehkan pasukan itu merampas kedudukan teratas daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) yang sekadar seri 2-2 dengan Kelantan.

"Harapan saya juga apabila bermain di sini terutamanya, skuad saya akan terus mengutip tigamata," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan itu.

Beliau berkata secara keseluruhan prestasi anak buahnya berada pada tahap yang baik ketika menentang The Red Giants, sehingga berjaya mengutip tiga mata berharga.

"Malam ini bukan satu persembahan yang boleh saya puji tetapi pemain Felda United telah menunjukkan permainan yang baik.

"Kita telah diberikan cabaran sengit dan Selangor pula beraksi bermati-matian hingga ke akhir perlawanan.

"Apa pun saya ucapkan tahniah kepada pemain saya kerana kemenangan ini.

"Sementara itu, penolong jurulatih Selangor, K. Gunalan pula berkata kekalahan The Red Giants adalah disebabkan beberapa kesilapan yang dilakukan pemainnya.

Beliau berkata secara keseluruhan pemain sudah beraksi bersungguh-sungguh dan memperoleh banyak peluang di depan pintu gol tapi hanya penyudah sahaja yang kurang kemas. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain