suria

Felda United Rampas Takhta Liga Super

Muhammad Hadin (tengah) berjaya menewaskan penjaga gol Selangor Muhammad Shahrom Kalam untuk gol pertama ketika menentang Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam Jumaat. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Felda United merampas kedudukan teratas Liga Super daripada juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) setelah mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Selangor di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.

Keputusan tersebut dibantu keputusan seri 2-2 dicatat JDT ketika berdepan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baru.

Kemenangan tersebut menyaksikan Felda United mengumpul 18 mata manakala JDT turun ke tangga kedua carta Liga Super dengan 17 mata selepas tujuh perlawanan.

Pada aksi di Jengka, Felda United memecah kebuntuan seawal minit kesembilan perlawanan menerusi Muhammad Hadin Azman yang memanfaatkan kesilapan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-70 menerusi penyerang import dari Liberia, Patrick Ronaldinho Wleh namun Felda United memastikan rekod tanpa kalah di laman sendiri menerusi jaringan Zah Rahan Krangar pada minit ke-74 dan Francis Forkey Doe, selang dua minit kemudian.

Di KOTA BARU, JDT gagal mempertahankan kelebihan dua gol sebelum seri 2-2 dengan Kelantan.

Pasukan pelawat mengejutkan Kelantan menerusi jaringan pembukaan Juan Martin Lucero pada minit kesembilan sebelum penyerang kelahiran Argentina itu menggandakan jaringan untuk JDT pada minit ke-52.

Kedudukan itu tidak bertahan lama apabila bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahyuddin merapatkan defisit jaringan, selang seminit kemudian sebelum Wan Zaharulnizam Wan Zakaria menyelamatkan maruah skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors dengan gol penyamaan pada minit ke-67.

Pada Ahad, tiga lagi aksi Liga Super akan berlangsung membabitkan pertemuan antara Perak dan Pahang FC di Stadium Perak, Ipoh; Sarawak dan Terengganu FC II di Stadium Negeri, Kuching selain pertemuan dua pasukan utara tanah air, Kedah dan Pulau Pinang di Stadium Darul Aman, Alor Setar. - BERNAMA

Felda United, JDT, Kelantan, Liga Super

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain