suria

Terbuka Malaysia: Yihan Ke Separuh Akhir, Lin Dan Tewas

KECEWA...Pemain perseorangan lelaki China Lin Dan selepas tewas kepada pemain Denmark Jan O Jorgensen pada peringkat suku akhir kejohanan Celcom Axiata Malaysia Open di Stadium Malawati, Jumaat. Jan O Jorgensen menang 21-17, 21-4. -fotoTHESTAR
SHAH ALAM: Pemain perseorangan wanita China, Wang Yihan melangkah ke separuh akhir selepas menundukkan pemain nombor satu dunia, Carolina Marin dari Sepanyol pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia yang berlangsung di Stadium Malawati di sini Jumaat.

Yihan yang kini berada di ranking keenam mengambil masa hanya 37 minit untuk mengenepikan Marin dengan straight set 21-13 dan 21-15 untuk layak ke slot separuh akhir esok.

Pada aksi suku akhir, Yihan mendahului 8-1 sebelum memenangi set pertama dan meneruskan aksi cemerlang untuk menyingkirkan pilihan utama itu selaku juara bertahan.

"Carolina ialah lawan yang handal. Beliau tidak pernah menyerah. Saya dapat menguasai permainan sejak dari mula.

"Dalam set kedua, Saya beraksi pantas untuk menamatkan perlawanan dan melakukan banyak kesilapan hingga membolehkan Carolina mengutip banyak mata," katanya.

Yihan dijangka bertemu pemain Thailand, Ratchanok Intanon atau pemain India,  P V. Sindhu dalam aksi seterusnya esok.

Sementara itu, pemain muda Indonesia yang menyerlah, Jonatan Christie meneruskan rentak kemenangan dengan menumpaskan pemain England, Rajiv Ouseph untuk menempah tiket ke separuh akhir.

Jonatan, 18, dalam penampilan pertamanya dalam Terbuka Malaysia akan  menentang sama ada pemain nombor satu dunia, Chen Long atau Tian Houwei, kedua-duanya dari China.

Jonatan, yang beraksi sebagai pemain dari pusingan kelayakan menundukkan  Ouseph 21-19 dan 21-19 pada perlawanan suku akhir.

"Saya kurang selesa dengan keadaan angin dalam stadium menyebabkan banyak melakukan kesalahan. Saya ubah strategi supaya tidak terpengaruh dengan rasa tidak selesa itu," katanya.

Sementara itu, bintang sensasi dunia Lin Dan yang kini berada di ranking ketiga terkandas di suku akhir selepas kecundang kepada pemain Denmark, Jan O Jorgensen 21-17 dan 21-4.

Lin Dan mendakwa bahawa keputusan pengadil terhadapnya menggangu prestasinya dalam set kedua.

Jorgensen yang mengambil masa cuma 32 minit untuk menundukkan Lin Dan, berkata juara Olimpik dua kali itu tidak mempamerkan persembahan terbaiknya dalam perlawanan itu.

"Dalam set kedua, saya beraksi dengan lebih selesa dan Lin Dan banyak melakukan kesilapan dan akhirnya saya mencapai kemenangan lebih mudah daripada saya jangkakan. Saya berpuas hati dengan persembahan saya dalam perlawanan itu.

"Lin Dan ialah seorang daripada legenda. Semasa membesar, saya teruja melihatnya beraksi, dia adalah idola saya," kata Jorgensen.

Dalam acara beregu, pasangan nombor dua dunia, Mohammad Ahsan/Hendra Setiawan dari Indonesia disingkirkan oleh beregu dari Denmark, Mads Conrad-Petersen/Mads Pieler Kolding dalam satu lagi aksi suku akhir.

Dalam aksi yang mendebarkan, beregu Indonesia itu melakukan banyak kesilapan dan memberi mata kepada beregu lawan untuk menang dengan 21-18, 17-21 dan 21-17.

Seorang lagi pilihan utama, Fu Haifeng/Zhang Nan dari China juga tersungkur di suku akhir apabila tumpas kepada beregu lelaki dari Korea Selatan, Kim Gi Jung/Kim Sa Rang 15-21, 21-19 dan 21-17.

Beregu wanita China, Tang Yuanting/Yu Yang mara ke separuh akhir selepas menewaskan beregu dari Jepun, Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi 14-21, 21-17 dan 21-18.

Artikel Berikut

Keputusan Liga Malaysia

Artikel Lain