suria

Jurulatih P.Pinang Direhatkan Selepas Tewas Kepada Sarawak

GEORGE TOWN: Jacksen F Tiago menjadi jurulatih Liga Super terbaru 'direhatkan' selepas skuad bimbingannya, Pulau Pinang tampil hambar ketika tewas 1-2 kepada Sarawak di gelanggang sendiri Selasa malam.

Tugas bekas pengendali skuad kebangsaan Indonesia itu kini diambil alih oleh Manzoor Azwira Abd Wahid berkuat kuasa serta-merta.

Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff berkata keputusan itu dibuat pengurusan tertinggi FAP dalam mesyuarat tergempar pagi Rabu.

Beliau berkata mesyuarat juga sebulat suara bersetuju menerima peletakan jawatan Laurence Loh sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pro FAP.

"Di samping itu, pihak pengurusan akan memberi surat amaran kepada pemain yang gagal memberi persembahan yang memuaskan setelah meneliti laporan prestasi pemain dalam perlawanan semalam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tiago, 47, adalah jurulatih kedua menerima nasib sama selepas skuad Terengganu FA turut merehatkan Ahmad Yusof hanya selepas tiga perlawanan, dan tempatnya diambil alih pembantunya, Mike Mulvey.

Nazir Ariff berkata pengurusan pasukan juga akan berjumpa dengan kesemua pemain untuk memastikan sasaran enam terbaik dalam saingan Liga Super 2016 dapat dicapai.

Dalam perlawanan menentang Sarawak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang tewas 1-2 menerusi jaringan minit-minit akhir perlawanan oleh J.Partiban.

Terdahulu kedua-dua pasukan terikat 1-1 dengan Matias Cordoba meletakkan skuad Harimau Kumbang di hadapan pada minit ke-26 sebelum Gilmar Jose da Silva menyamakan kedudukan untuk Sarawak pada minit ke-58.

Susulan kekalahan itu, sekumpulan penyokong skuad Harimau Kumbang berhimpun di luar stadium mendesak peletakan jawatan Tiago.

Selepas enam perlawanan, Pulau Pinang menduduki tangga kesembilan dengan memungut lima mata menerusi satu kemenangan dan seri dua kali.

Sementara itu, Tiago yang ditemui selepas perlawanan malam tadi, masih mempertahanankan anak buahnya dan berkata pemain menunjukkan peningkatan selepas tewas dengan Kelantan 12 Mac lepas. -Bernama

Pulau Pinang, Jacksen F Tiago

Artikel Lain