suria

Saya Akui Silap - Frost

Khe Wei (depan) dan Vivian Hoo dilarang beraksi tiga kejohanan gara-gara kesilapan Frost.

SHAH ALAM: "Saya akui silap...bukan maksud saya menjejaskan peluang mereka (Woon Khe Wei-Vivian Hoo) layak ke Sukan Olimpik," kata Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen.

Frost mengakui kesilapan membuat percaturan untuk pasangan beregu wanita itu sehingga menyebabkan mereka kini berdepan laluan sukar melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Rio Janeiro, Brazil, Ogos ini. 

Bersimpati dengan situasi yang dihadapi gandingan Khe Wei-Vivian itu, Frost menegaskan bukan niatnya untuk menjejaskan peluang pasangan itu apabila mengeluarkan mereka daripada kejohanan Seluruh England.

"Saya lakukan kesilapan dalam isu Khe Wei-Vivian ini. Saya mengeluarkan mereka daripada Seluruh England dan menamakan mereka untuk kejohanan di Poland dan Orleans (Perancis).

"Saya tidak sedar, kita tidak boleh menarik diri, dan menyertai pertandingan lain di kejohanan yang sama. 

"Saya fikir saya tidak menjejaskan peluang mereka. Ini adalah kesilapan pertama saya selepas 13 bulan memegang tugas ini," katanya kepada media pada Selasa.

Frost berkata demikian sebagai mengulas laporan Bernama mengenai peluang Khe Wei-Vivian yang kian sulit bagi menempah slot ke Sukan Olimpik angkara kesilapan perancangan BAM.

Bagaimanapun, jawapan Frost tetap menimbulkan keraguan kerana Terbuka Poland (23-26 Mac) dan Kejohanan Antarabangsa Orleans (31 Mac-3 April) langsung tidak bertindih tarikh dengan Seluruh England (8-13 Mac).

Sebaliknya, difahamkan tindakan BAM mendaftarkan Khe Wei-Vivian untukTerbuka Portugal (10-13 Mac) yang bertindih dengan Seluruh England, menyebabkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melarang pasangan itu beraksi di tiga kejohanan berkenaan sebagai 'hukuman'.

Akibatnya, Khe Wei-Vivian kini hanya mempunyai tiga kejohanan lagi - Terbuka Malaysia (6-10 April), Masters China (19-24 April) dan Kejohanan Asia (26April-1 Mei) untuk mencuri peluang mendapatkan slot ke Rio selepas nama mereka diketepikan untuk Terbuka Singapura, minggu depan.

"Jika Khe Wei-Vivian mampu mara sekurang-kurangnya ke pusingan kedua, mereka mampu mengutip lebih banyak mata di tiga kejohanan itu," kata Frost.

Frost berkata gandingan itu tidak dihantar ke Terbuka Singapura kerana BAM mahu pemain itu berehat seketika selain memberi fokus kepada persiapan ke Olimpik.

Artikel Lain