suria

Ahmad Yusof Jurulatih Pertama 'Direhatkan' Musim Ini

Ahmad Yusof.

KUALA TERENGGANU: Jurulatih Terengganu FA, Ahmad Yusof menjadi mangsa pertama pengendali pasukan 'direhatkan' musim ini walaupun saingan Liga Malaysia (Liga-M) baru memasuki tiga perlawanan.

Segalanya nampak tidak kena dalam pasukan itu apabila pengurus pasukan Marzuki Sulong juga meletak jawatan.

Kemenangan 1-0 ke atas Pulau Pinang dalam aksi pembukaan Liga Super belum cukup menjadi jaminan buat Ahmad, selepas skuadnya tewas 0-1 kepada Kedah dalam aksi kedua liga itu, diikuti kekalahan 1-3 di tangan PKNS FC dalam saingan Piala FA, Jumaat lepas.

Tempat Ahmad, bekas pemain tengah Pulau Pinang dan Pahang itu, akan diambil alih penolong jurulatih, Mike Mulvey manakala kekosongan ditinggalkan Marzuki diisi Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Keputusan drastik itu dicapai pada mesyuarat jawatankuasa PBSNT bagi memantapkan pasukan Terengganu FA dalam saingan Liga Super musim ini.

"Ini perubahan drastik yang kita buat berikutan kelemahan pasukan Terengganu dalam Liga Super dan Piala FA," kata Wan Ahmad Nizam kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu pada Isnin.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat.

Wan Ahmad Nizam berkata, jawatankuasa itu menerima peletakan jawatan Marzuki dan bersetuju melantiknya sebagai pengurus pasukan Terengganu FA yang baharu untuk musim ini.

Peletakan jawatan Marzuki yang juga Timbalan Presiden PBSNT, dipercayai disebabkan masalah kesihatan.

Wan Ahmad Nizam berharap pasukan Terengganu FA akan mendapat suntikan semangat tambahan di bawah pengurusan baharu itu, sekali gus bangkit dalam saingan Liga Super.

"Kita akan lihat keberkesanan jurulatih baharu dalam beberapa perlawanan dan kalau berjaya, Alhamdulillah...," katanya. - Bernama

Ahmad Yusof

Artikel Sebelum

Willian Ditawarkan Kontrak Baharu

Artikel Lain