suria

Fraser Rangkul Kejayaan Sulung Maybank Malaysia

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin Abu Bakar (kiri) menyampaikan piala kepada juara Kejohanan Maybank 2016 Marcus Fraser dari Australia di Kelab Golf Diraja Selangor Ahad. Turut hadri Pengerusi Maybank Berhad, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor (kanan). -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemain Australia, Marcus Fraser mengakhiri kemarau gelaran selama enam tahun apabila muncul juara edisi pertama Kejohanan Golf Maybank Malaysia 2016 di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC), di sini Ahad.

Pada pusingan akhir, pukulan par pada tiga lubang lubang terakhir membantu Fraser melakarkan tiga bawah par 68, sekali gus merekodkan catatan keseluruhan 15 bawah par 269 untuk mengatasi dua pencabar dengan kelebihan dua pukulan.

Pemain berusia 38 tahun itu pada satu ketika ketinggalan dua pukulan di belakang pendahulu semalaman, Lee Soo-Min dari Korea Selatan.

Namun dua catatan bogey berganda oleh pemain Korea berusia 22 tahun pada lubang ke-16 dan 18 telah menyuntik semangat kepada Fraser untuk melakukan pukulan par, sekali gus merangkul kejuaraan serta meraih hadiah wang tunai US$500,000 (RM2.1 juta).

"Sukar dipercayai....sejak enam tahun lepas, setiap kali I keluar dari rumah untuk ke pertandingan, anak-anak saya selalu bertanya boleh ayah bawa pulang trofi dan saya menjawab: "akan cuba".

"Kali ini saya membawa pulang satu trofi...saya akan beri anak-anak untuk membawa trofi ini ke sekolah dan tunjuk kepada rakan-rakan mereka. Ini adalah sebab utama saya teringin sangat untuk menang," kata Fraser pada sidang media selepas saingan sengit itu.

Beliau menerima trofi tersebut daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Lee berkongsi berkongsi tempat kedua dengan pemain Filipina, Miguel Tabuena, 21, apabila terikat dengan catatan 13 bawah par 281 dan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai US$260,565 (RM1.09 juta).

Tempat ketiga dikongsi oleh pemain Perancis, Julien Queens dan Jorge Campilo dari Sepanyol dengan catatan 12 bawah par 272.

Pemain Sabah, Nicholas Fung muncul sebagai pemain terbaik tempatan dengan kedudukan tempat ke-24 dengan catatan enam bawah par 278 dan menerima hadiah wang tunai US$29,400 (RM1234,568).


"Saya memiliki lima bawah par selepas 11 lubang dan mula berfikir terlalu banyak tentang kedudukan saya sehingga cuai dan membenam tiga bogey pada empat lubang terakhir.

"Bagaimanapun, saya gembira dengan pencapaian ini, kata pemain berusia 26 tahun itu yang akan menyertai kejohanan diiktiraf Jelajah Asia dan Jelajah Eropah di Perth, Australia, minggu depan."

Tiga lagi wakil negara, Kemarol Baharin, Wilson Choo dan Shaaban Hussin sekadar menamatkan saingan di tempat ke-57, 60 dan 69.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain