Kafa Sedia Pecat Pemain Import Hambar - Annuar Musa - Sukan | mStar

Kafa Sedia Pecat Pemain Import Hambar - Annuar Musa

Annuar Musa.

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan bertindak tegas terhadap pemain import yang gagal menyerlah pada aksi Liga Malaysia yang akan membuka tirainya bulan depan.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, badan induk bola sepak negeri itu mempunyai hak untuk menamatkan kontrak mana-mana pemain yang gagal mempamerkan prestasi yang dikehendaki pada musim ini.

Malah, katanya, pemain tersebut akan menerima notis tamat perkhidmatan dan diberikan sejumlah bayaran pampasan tertentu.

"Kita masukkan syarat dalam kontrak di mana sekiranya pretasi mereka (pemain import) tidak memuaskan, kita berhak menamatkan khidmat mereka dengan beri notis dan pampasan yang terhad sahaja," katanya menerusi satu kenyataan dalam laman Facebook milik beliau pada Rabu.

Menurut Annuar, keputusan itu dibuat selepas belajar daripada pengalaman lalu dengan mengambil kira perbelanjaan besar yang dikeluarkan terhadap pemain tersebut.

"Pemain import kita diambil melalui pencari bakat dan ejen FIFA... memang benar sedikit mahal. Malah ada yang kita terpaksa membayar loan fee dan transfer fee

"Itu pun tidak menjamin kita dapat apa yang kita mahu. Itulah pengalaman pahit yang kita lalui selama ini," katanya.

Jelas Annuar, dalam soal mencari pemain import berkualiti, selain menggunakan skuad pencari bakat, Kafa turut menggunakan sistem pemilihan terbuka.

"Kita menggunakan kedua-dua cara ini tapi akhirnya ketiga-tiga pemain import kita ambil melalui skuad pencari bakat," katanya.

Beliau berkata, Kafa mempunyai lebih 10 ejen Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di seluruh dunia yang bertindak sebagai pencari bakat pasukan.

Pada musim ini, Kelantan akan diperkuat bekas penyerang kebangsaan Mali, Dramane Traore selepas pemain berusia 34 tahun itu lulus saringan kesihatan dan ujian kecergasan yang dijalankan ke atasnya pada Selasa.

Penjaring terbanyak Liga Super musim lalu itu menjadi pemain import kedua Kelantan musim ini selepas tonggak pertahanan Australia, Jonathan McKain.

Difahamkan Kafa mengikat pemain tersebut dengan kontrak selama setahun.

Sementara itu, Penasihat Kehormat Kafa, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman mendedahkan menerima maklum balas positif daripada penggempur berbisa Thailand, Terassil Dangda untuk beraksi bersama skuad tersebut sebaik sahaja kontraknya bersama Muangthong United berakhir Jun depan.

"Dia tunjuk minat untuk beraksi bersama pasukan ini. Jika segalanya berjalan dengan lancar, Dangda akan menyarungi jersi The Red Warriors (TRW) selepas kontraknya tamat dalam tempoh lima bulan dari sekarang," katanya.

Beliau berkata, kehadiran Dangda amat penting untuk memperkukuh jentera serangan TRW sekali gus membantu pasukan merampas sekurang-kurangnya tiga trofi musim ini.

"Dia penyerang yang sangat hebat yang saya yakin dapat menimbulkan rasa gerun kepada pihak lawan," katanya.


Kafa , pemain import , tindakan tegas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

Artikel Lain