suria

Ramon Marcote Dedah Sebab Tolak Tawaran Kedah

Ramon Marcote.

“SAYA berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kerana menawarkan kontrak baru bagi musim 2016, tetapi apa yang ditawarkan oleh mereka tidak berbaloi dengan sumbangan yang telah saya berikan pada musim lalu,” demikian luahan bekas penolong jurulatih skuad Helang Merah musim lalu, Ramon Marcote menerusi blognya.

Menurut jurulatih kelahiran Sepanyol itu, walaupun terpaksa menolak tawaran tersebut, namun dia tetap menghargai jasa KFA dan penyokong ketika memberikan sokongan moral pada saingan Piala Malaysia musim lalu.

“Saya telah menerima tawaran dari KFA pada 23 Disember lalu dan saya juga telah memberitahu mereka bahawa saya tidak boleh menerima tawaran itu kerana tidak berbaloi dengan sumbangan pada musim lalu.

“Hakikat sebenar ialah saya telah membawa pasukan Kedah ke perlawanan akhir Piala Malaysia ketika ketiadaan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe yang berada di China untuk mengikuti kursus kejurulatihan Pro.

“Pasukan Kedah memang beraksi dengan cemerlang musim lalu dan saya yakin mereka mampu meraih kejayan musim ini dengan kemasukkan beberapa muka baru, Kedah tetap di hati saya walaupun tidak bersama mereka musim ini. Saya sentiasa mengikuti perkembangan mereka menerusi laman web dan Facebook,” katanya.

Marcote memberitahu, secara peribadi dia telah meraih banyak pengalaman baru ketika bersama Kedah dan yakin ilmu yang diperolehi mampu meningkatkan lagi pengetahuannya tentang permainan bola sepak.

Ramon yang bersama pasukan Kedah sejak April tahun lalu hingga Disember lalu berjaya membantu Cheng Hoe dan barisan pemain Kedah dengan pengalaman dan pengetahuannya ketika bergelar penolong jurulatih Athletico Madrid.

“Selama hampir setahun saya bersama pasukan Kedah saya cukup gembira malah keluarga saya yang bercuti di sini pada masa singkat turut gembira ketika berada di Malaysia. Saya mendapat layanan baik daripada pemain, pihak pengurusan dan peminat setia pasukan.

“Saya menolak tawaran daripada KFA hanya kerana tawaran itu tidak berbaloi untuk diterima setelah apa yang saya lakukan bagi pasukan Kedah. Saya telah memberitahu hasrat ini dalam masa tiga hari sele9as mendapat tawaran itu.

“Saya juga meminta agar kesemua pemain dan pihak pengurusan untuk terus memberi sokongan kepada Cheng Hoe kerana dia mampu memastikan pasukan Kedah meraih banyak kejayaan pada musim ini. Jika saya menerima tawaran berbaloi daripada pasukan lain di Malaysia ataupun di benua Asia, saya pasti akan pertimbangkannya,” jelas Marcote.

Ramon Marcote, KFA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain