suria

Kayne Vincent Lengkap Kuota Pemain Import Perlis

KANGAR: Penyerang Buriram United FC dalam Liga Perdana Thailand (TPL), Kayne Vincent melengkapkan kuota pemain import Singa Utara.

Vincent, 28, akan diambil bagi menggantikan Gregory Junior Nwokolo pemain BEC Tero Sasana dalam TPL yang tidak mendapat pelepasan pasukannya.

Menurut ketua jurulatih Perlis, Dollah Salleh, pemain kelahiran New Zealand itu tiba 21 Jan lepas dan masih menjalani ujian kecergasan selepas lulus ujian kesihatan.

"Jika disahkan sihat dan bebas dari kecederaan, dia boleh menandatangani kontrak selewat-lewatnya Khamis ini," kata Dollah sambil berharap penyerang yang pernah beraksi di Jepun, India dan Australia itu mampu memperkuatkan serangan Perlis.

Perlis yang akan bermain dalam Liga Perdana musim ini selepas menjaurai Liga FAM musim 2015 bakal diperkuatkan dengan tiga pemain import yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia iaitu Edward Junior Wilson, Obinna Nwaneri dan Mohamadou Sumareh.

Dollah berkata ketiga-tiga pemain itu telah dapat menyesuaikan dengan corak latihan dan di jangka menerima sijil perpindahan antarabangsa mereka dalam masa terdekat.

"Selepas masuk minggu ketiga, saya dapati keserasian mereka dengan pemain tempatan bertambah mantap. Wilson yang diberi peranan sebagai pemunsah boleh diharapkan.

"Nwaneri agak kurang cergas namun dia banyak mempengaruhi barisan pertahanan Perlis. Sumareh pula yang bermain di sayap kanan sangat menjadi," kata bekas pengendali pasukan kebangsaan itu.

Tanpa mahu meletakan sasaran buat masa ini, beliau berkata keutamaannya sekarang ialah meningkatkan kecergasan dan kekuatan fizikal pemain supaya mereka bersedia memulakan saingan yang di jangka sengit dalam masa tiga minggu lagi.

Mengenai pengganti penjaga gol Muhammad Saiful Niza Nasir yang maut dalam kemalangan baru-baru ini, Dollah berkata beliau sudah membawa masuk penjaga gol Perlis yang beraksi dalam Piala Presiden, Mohd Hazran Safawan Mohd Sobri, 21. 

Mohd Hazran pernah menjadi penjaga gol ketiga Perlis sebelum ini.

Sementara itu Perlis telah mengatur beberapa perlawanan persediaan menjelang Liga Malaysia bermula tiga minggu lagi.

Pada Khamis ini mereka akan menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak FC (PKNP FC), Hat Yai FC (30 Januari) dan Kedah (1 Februari), ketiga-tiga perlawanan diadakan di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar. -- Bernama 



Kayne Vincent, Perlis, Dollah Salleh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain