suria

Bekas Juara Dunia Manny Pacquiao Bakal Terima AS$20 Juta Dalam Perlawanan Terakhirnya

Bekas juara tinju dunia, Manny Pacquiao (kiri) dan juara dunia, Tim Bradley akan bertarung di Las Vegas pada 9 April nanti. Ia adalah perlawanan terakhir buat Pacquiao yang mengumumkan persaraannya selepas perlawanan tersebut untuk menumpukan perhatian kepada politik di negara asalnya, Filipina.

> Manny Pacquiao akan masuk gelanggang buat kali terakhir menentang Timothy Bradley

> Perlawanan itu akan berlangsung pada 9 April ini di MGM Grand Las Vegas Amerika Syarikat

> Ia adalah perlawanan yang ketiga buat kedua-dua peninju

> Bradley menewaskan Pacquiao pada 2012 tetapi Pacman menang pada 2014

> Pacquiao isytihar dia akan sertai politik selepas bersara

BEKAS juara dunia, Manny Pacquiao dari negara jiran Filipina menegaskan untuk kali yang terakhir yang dia nekad untuk meninggalkan gelanggang tinju selepas mengharungi perlawanan terakhirnya menentang Timothy Bradley 9 April nanti.

Pacquiao yang bakal menerima bayaran royalti sebanyak AS$20 juta tidak kira sama ada menang atau kalah dalam perlawanan terakhirnya itu berhasrat untuk menerjunkan diri dalam bidang politik selepas bersara nanti.

Kata Pacquiao, masanya telah tiba untuk dia berkhidmat kepada masyarakat di kawasan kelahirannya pula.

Dia dikatakan akan bertanding kerusi senator.

Pacquiao, 37, berehat panjang selepas perlawanan terakhirnya menentang Floyd Mayweather Mei lalu yang mencatat sejarah sebagai yang termahal dalam sejarah tinju dunia.

Dia tewas pada kiraan mata dalam perlawanan itu.

Bercakap dalam satu sidang akhbar khas di Los Angeles, Amerika Syarikat untuk mempromosikan perlawanan terakhirnya itu, PacMan berkata: "Saya berasa sedih untuk meninggalkan gelanggang tetapi anda kena menerima hakikat yang anda tidak boleh bertarung buat selama-lamanya dan ini adalah masa yang paling sesuai untuk berpisah."

PacMan mencatat sejarah sebagai satu-satunya peninju yang pernah menjadi juara dalam lapan bahagian kejuaraan dunia.

Sepanjang kariernya, dia telah berjaya menjulang 10 tali pinggang kejuaraan dunia.

Menurut majalah Forbes, PacMan adalah ahli sukan yang kedua menerima bayaran tertinggi di dunia sepanjang tahun 2015.

Dia kini berada di ranking ketujuh dunia dan memegang rekod sebagai peninju paling lama berada dalam ranking 10 terbaik dunia.

Sementara itu, Timothy Bradley pula adalah juara welterweight WBO dan masih penyandang juara dunia untuk kategori yang sama.

Dia juga adalah bekas juara dunia WBC untuk kategori light welterweight.

Sepanjang kariernya, Bradley yang berasal dari California Amerika Syarikat telah menumpaskan 12 juara dunia termasuklah Manny Pacquiao, Juan Manuel Márquez dan Devon Alexander.


Manny Pacquiao, Timothy Bradley, WBO, WBC

Artikel Sebelum

Artikel Lain