suria

Gol Kontroversi Terry Punca Seri 3-3 Dengan Everton

KAPTEN Chelsea, John Terry menjadi watak utama pada perlawanan seri 3-3 ke atas Everton pada aksi Liga Perdana Inggeris, Sabtu malam.


Aksi di Stamford Bridge itu menyaksikan kedua-dua pasukan mempunyai peluang menjaringkan gol pada babak pertama permainan, namun gagal mencuri sebarang mata.

Permainan separuh masa kedua lebih dramatik apabila Terry menjaringkan gol sendiri pada minit ke-50.

Enam minit kemudian, The Toffees menambah satu lagi jaringan menerusi Kevin Mirallas.

Namun Diego Costa berjaya melepasi barisan pertahanan Everton sekaligus merapatkan jaringan mata minit ke-64.

Dua minit selepas itu, Oscar yang bijak mengawal bola membuat hantaran kemas kepada Cesc Fabregas seterusnya menjaringkan penyamaan.

Anak buah Roberto Martinez tidak berputus asa untuk mencari gol kemenangan yang hadir pada masa kecederaan minit ke-91 menerusi Ramiro Funes Mori.

Tersentak dengan jaringan Mori itu, pemain-pemain Chelsea cuba menggunakan minit-minit terakhir permainan dengan membuat serangan ke arah gol lawan yang menyaksikan Terry sekali lagi menjadi tumpuan apabila menjaringkan gol (m-98) dalam kedudukan ofsaid.

Namun pengadil Mike Jones mengesahkan gol Terry yang mencatat rekod penampilan ke-700 bersama Chelsea pada perlawanan ini.

Ternyata keputusan itu mengecewakan Martinez.

“Bagi saya gol ketiga sepatutnya menjadi kemenangan kepada kami.

“Tetapi apabila ada lagi tempoh tujuh minit masa kecederaan dan aksi 52 saat terakhir berlaku dengan kedudukan Terry dua meter ofsaid, kamu tidak boleh menjelaskannya,” ujar Martinez.

“Sebelum bola berada di kawasan kotak , pegawai perlawanan keempat sudah menunjukkan masa tamat.

“Keputusan gol itu sepatutnya ofsaid. Sungguh menyedihkan. Bukan untuk masuk campur keputusan pengadil tetapi ia kesilapan besar yang sukar diterima”.

Manakala pengurus sementara Chelsea, Guus Hiddink mengakui Terry berada dalam posisi ofsaid.

“Apa yang Roberto cakap adalah betul. Kenapa saya perlu menafikan apa yang saya lihat? Oscar menghantar bola ke arah Terry yang ketika itu dalam posisi ofsaid biarpun dia menjaringkan gol yang cantik.

“Selepas 97 minit bermain, mereka meraikan gol ketiga di sudut dan selepas itu kami meminta pegawai perlawanan keempat agar menambah masa seminit lagi,” jelasnya.

Keputusan itu membuatkan Hiddink mengekalkan rekod tanpa kalah enam perlawanan sejak mengambil alih pimpinan daripada Jose Mourinho.

Chelsea, Everton, ofsaid, John Terry

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain