suria

Van Gaal Mahu Pemain Tenang Berdepan Liverpool

MANCHESTER: Louis Van Gaal, mengakui perlawanan Manchester United menentang Liverpool esok akan menjadi antara perlawanan terbesar dalam kalendar pasukannya sepanjang musim Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Itu apa yang peminat lihat dan saya rasakan yang sama. Ia dapat dilihat pada riak muka pemain. Contohnya pada musim lalu, (Steven) Gerrard dibuang padang hanya dalam masa 30 saat.

"Kami perlu agresif dan mengawal keadaan dalam perlawanan seperti ini walaupun ia sebenarnya sukar," kata pengendali United itu.

Setakat ini, Van Gaal memperoleh tiga kemenangan menentang Liverpool sejak mengambil alih United pada 2014, termasuk kejayaan 3-1 di Old Trafford pada September lalu.

Satu lagi kejayaan akan menghentikan perbualan mengenai kemungkinan tempatnya sebagai pengurus di Old Trafford bakal diganti selepas pasukan itu hanya memperoleh satu kemenangan daripada lapan perlawanan.

Bagaimanapun, pengurus dari Belanda itu tahu dia berdepan ujian serius dalam pertemuan pertama dengan Klopp. Kedua-dua pengurus itu berkongsi dua kemenangan apabila mereka menjadi musuh ketika di Jerman - di Bayern Munich dan Borussia Dortmund - dan pengurus United itu kagum dengan permulaan baik Klopp dalam bola sepak Inggeris sejak ketibaannya pada Oktober lalu.

Sehubungan itu, van Gaal mendesak pemainnya kekal tenang menentang Liverpool yang dianggap perlawanan kemuncak EPL.

Meskipun kedua-dua pasukan dilihat jauh daripada pemburuan trofi buat masa ini, perlawanan di Anfield esok dijangka sengit dengan Van Gaal memerlukan kemenangan bagi mengurangkan tekanan terhadap kedudukannya dan kekal menamatkan kempen sebagai pencabar empat pasukan terbaik. 

Kejayaan buat pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dalam perlawanan pertamanya menentang United pula akan membantunya meraih sokongan peminat skuad The Reds. - AFP

Louis Van Gaal, Liverpool, Kloop

Artikel Berikut

Artikel Lain