suria

Golf Piala EurAsia: Chia Bakal Mulakan Cabaran Hari Terakhir

SHAH ALAM: Kapten Pasukan Asia Jeev Milkha Singh percaya pemilihan pemain negara Danny Chia untuk memulakan cabaran di hari terakhir Piala EurAsia pada Ahad akan memberi kelebihan dalam mendapatkan sokongan penonton.

Milkha berkata penyokong tempatan akan hadir memberi sokongan kepada Chia dan beliau mahukan momentum sokongan itu berterusan untuk pasukan berkenaan.

"Saya pilih Danny beraksi dulu. Saya rasa dia bermain dengan baik di depan penyokong tempatan. Pasti ramai yang akan datang menyokongnya dan saya harap sokongan akan berterusan.

"Pasti semua pemain akan memberikan yang terbaik esok. Danny akan menentang Ian Poulter manakala Nicholas Fung berdepan Lee Westwood," kata Milkha Singh dalam sidang media, Sabtu.

Selepas dua hari, Pasukan Eropah mendahului dengan sembilan mata manakala Pasukan Asia mengumpulkan tiga mata.

Mengulas persembahan pasukannya, Milkha berkata pemain Asia masih kurang daripada segi putting apabila bermain dalam format fourballs.

"Begitupun pukulan pemain adalah baik, cuma putting masih kurang kemas sehingga terlepas banyak peluang," katanya.

Bagi Pasukan Eropah, walaupun mempunyai kelebihan enam mata, ketua pasukan Darren Clarke mengakui mereka tidak boleh berasa terlalu yakin untuk mengharungi cabaran satu lawan satu pada Ahad.

Menurutnya pasukan itu tidak akan memandang mudah cabaran yang akan diberikan Pasukan Asia.

"Dalam golf, anda tidak boleh yakin untuk menjulang piala sehingga menamatkan saingan lubang terakhir. Sama ada ia pertandingan individu atau berpasukan, masih banyak yang perlu diharungi di hari terakhir.

"Saya percaya masih ada aksi yang menarik esok," kata Clarke.-Bernama

Piala EurAsia, Golf, Danny Chia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain