suria

Dollah Salleh Mahu Perlis Jadi Pasukan Digeruni

Dollah (kiri) sedang memberi panduan tertentu semasa giat melatih pemain pasukan negeri sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Perdana 2016 di perkarangan kompleks sukan Tuanku Syed Putra. Foto: Bernama

PETALING JAYA: Bekas pengendali skuad kebangsaan, Dollah Salleh kembali ke padang bersama pasukan Perlis bagi mengharungi musim baharu saingan Liga Malaysia yang bakal membuka tirainya hujung bulan ini.

Kisah duka tahun yang melanda Dollah apabila skuad bimbingannya, Harimau Malaya tewas 10-0 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 September lalu tidak melunturkan semangatnya untuk terus bergelar jurulatih. 

"Siapa kata saya berehat selepas meletak jawatan bersama skuad kebangsaan? Kalah menang adat pertandingan. Jangan disebabkan rekod kalah satu, lupa semua berpuluh kemenangan yang lain," jelasnya bersahaja kepada mStar Online mengenai perkembangan terkini kariernya.

Jelas jurulatih kelahiran Melaka berusia 53 tahun ini, minat dalam bidang kejurulatihan tidak pernah padam, malah akan terus memberi khidmat selagi berdaya.

"Saya bersetuju mengendalikan skuad Perlis bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini biarpun turut menerima beberapa tawaran daripada pasukan lain kerana Datuk Rozabil Abd Rahman (Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis) percaya dan faham kehendak saya. 

"Tawaran serius beliau membuka hati saya untuk menguruskan pasukan Perlis ini walaupun secara jelasnya masih banyak perkara yang memerlukan perubahan. 

"Namun ia tidak menjadi masalah kepada saya untuk bermula dengan 'zero' bersama skuad ini dan tahu apa yang diperlukan mereka.  Lagipun ini bukan kali pertama saya menguruskan pasukan dalam saingan Liga Perdana.

"Untuk musim ini, saya tidak meletak sasaran yang terlalu tinggi tetapi niat saya untuk melihat Perlis kembali meriah seperti dulu walaupun tanpa pemain-pemain bergelar bintang," katanya.

Dalam pada itu, Dollah menjelaskan dua lagi pemain import mereka akan tiba pada Rabu ini.

"Latihan sudah dijalankan hampir dua minggu. Semuanya 'okay'. Dua orang pemain import sudah bersama kami, manakala dua lagi akan tiba esok. Dan minggu depan kemungkinan kita akan mula mengatur perlawanan persahabatan," tambah Dollah.

Sentuhan Dollah dikatakan mempunyai magis sebelum ini kerana pernah membawa empat pasukan Liga Perdana ke Liga Super dan antaranya ialah pasukan MPPJ (2004), Selangor (juara treble 2005 ), Pahang (2012) dan PDRM (2014).

Manakala pasukan Perlis yang digelar Singa Utara ini berjaya mara ke saingan Liga Perdana 2016 setelah menguasai kedudukan terbaik bersama Melaka dalam saingan Piala FAM musim lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain