suria

"Saya Fleksibel Soal Tajaan" - Datuk Vida

Dr Hasmiza Othman.

PETALING JAYA: Usahawan kosmetik terkemuka negara, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman sedia bersikap fleksibel meminda agihan tajaan berjumlah RM8 juta semusim yang diperuntukkan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata buat masa ini jumlah tajaan tersebut akan dikekalkan seperti mana yang dipersetujui dalam rundingan bersama dengan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa pada petang Jumaat lalu.

Namun, katanya, beliau sedia berbincang dengan Kafa untuk memperincikan agihan peruntukan itu mengikut keperluan semasa.

"Tiada penambahan tapi saya lebih fleksibel. Saya sedia untuk berbincang. Apapun kena sokong Pamoga Qu Puteh TRW," katanya kepada mStar Online.

Vida kini berada di luar negara atas urusan perniagaan.

Menurut wanita kelahiran Machang itu, selepas melibatkan diri dalam industri sukan, beliau mula memahami soal perbelanjaan dalam mengurus sesebuah pasukan.

"Saya masih baharu lagi dalam bidang ini dan mulai faham sedikit demi sedikit mengenai perbelanjaan bola sepak," katanya.

Pada Isnin, Annuar memberitahu walaupun menerima tajaan jutaan ringgit daripada Qu Puteh, ia masih belum cukup untuk menampung perbelanjaan mengurus TRW dalam mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2016.

Jelas beliau, Kelantan masih memerlukan dana RM16 juta untuk menampung perbelanjaan keseluruhan pasukan.

Difahamkan Kafa akan menerima tajaan sebanyak RM16 juta untuk tempoh dua musim daripada syarikat kosmetik Vida Beauty iaitu RM8 juta semusim.

Pada Jumaat lalu, Kafa mencapai kata sepakat dengan Qu Puteh berhubung perjanjian tajaan TRW selama dua musim.

Kafa turut bersetuju dengan dua syarat utama Vida selain menerima 33 syarat tambahan baharu.

Dua syarat awal Vida adalah stadium Sultan Muhammad IV di Kota Baharu perlu diwarnakan dengan warna merah jambu dan nama pasukan ditukar kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.












Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain