suria

Saingan Piala FA 2016 Libatkan 35 Pasukan

SHAH ALAM: Saingan Piala FA tahun ini bakal menyaksikan persaingan antara 35 pasukan daripada pasukan Liga Super, Liga Perdana dan Liga FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia).

Bagaimanapun, saingan Piala FA musim ini dimulakan dengan pusingan pertama yang membabitkan 11 pasukan dari Liga FAM.

Dalam undian yang dibuat secara terbuka di sini, hari ini, lima daripada 11 pasukan itu mendapat 'bye' manakala enam pasukan lagi terpaksa bersaing secara kalah mati pada 30 Jan ini untuk melangkah ke peringkat kedua.

Menanti mereka pada peringkat kedua ialah 12 pasukan Liga Super dan 12 pasukan Liga Perdana.
Undian untuk peringkat kedua yang dijadualkan pada 19 dan 20 Februari itu turut dijalankan secara terbuka.

"Tidak seperti tahun sebelum ini, Piala FA tahun ini tidak ada pasukan pilihan. Undian dibuat secara terbuka," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Liabiliti Berhad Bola sepak Malaysia (FMLLP) Kevin Ramalingam.

Ini bermakna naib juara Piala FA tahun lepas, Kelantan tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan dan kedudukan mereka dalam saingan peringkat kedua juga perlu melalui proses undian.

Untuk rekod, juara Piala FA musim lepas, Lions XII tidak lagi mengambil bahagian dalam saingan Liga Malaysia musim ini apabila FAM memutuskan untuk tidak meneruskan Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

Semua perlawanan peringkat pusingan Piala FA akan dijalankan secara kalah mati.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain