suria

Lawrence Ganti Kenny Di BAM

Lawrence Chew

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Lawrence Chew dilantik sebagai Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mulai pertengahan bulan depan.

Beliau yang berasal dari Petaling Jaya tetapi sudah menetap selama 30 tahun di Switzerland akan menggantikan Kenny Goh yang akan memulakan tugasnya di Konfederasi Badminton Asia (BAC) mulai Jumaat.

Lawrence yang sebelum ini adalah Pengarah Eksekutif Persatuan Badminton Switzerland disahkan mengambil alih tugas itu oleh Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

"Ya, Lawrence akan menggantikan Kenny. Kita telah mendapat persetujuan daripada Ahli Exco BAM yang dipengerusikan Pemangku Presiden Tan Sri Al Amin Abdul Majid.

"Beliau akan memulakan tugas pada Januari ini. Syarat kontrak akan dimuktamadkan pada awal Januari," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohamad Norza berkata Lawrence adalah calon yang tepat untuk menyuntik profesionalisme dalam pengurusan BAM, sekali gus membantu Pengarah Teknikal, Morten Frost Hansen.

"Pengalaman sebagai seorang rakyat Malaysia yang berkhidmat di Eropah akan memudahkan kerjasama dengan Morten dan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dapat ditentukan dengan lebih jelas," katanya.

Mohamad Norza berkata pemilihan Lawrence diputuskan lima panel penemu duga yang diketuai beliau sendiri. Lawrence adalah antara tiga calon terakhir yang disenaraipendekkan untuk jawatan itu.

Dua lagi adalah Pengurus Kewangan BAM, K Manoharan dan Preman Parameswaran.

"Kami menilai secara objektif dan mendapati Lawrence adalah calon yang paling layak menggantikan tempat Kenny," katanya.

Bagaimanapun, pemilihan Lawrence dikatakan mendapat reaksi berbeza daripadabeberapa ahli gabungan BAM berikutan tindakan Lawrence sebelum ini yang didakwa membuat pusingan U sokongannya kepada Tan Sri Mohd Nazmi Salleh (Presiden BAM ketika itu) pada kempen untuk jawatan Presiden BWF pada 2013.

Ketika itu, Lawrence yang pada awalnya dalam kem Mohd Nazmi mengalihkan sokongan kepada juara Olimpik 1996, Poul Erik Hoyer Larsen untuk jawatan nombor satu itu, sehingga akhirnya Mohd Nazmi menarik diri untuk memberi laluan kepada Justian Suhandinata dari Indonesia mencabar Hoyer-Larsen.

"Tindakan beliau yang membelakangkan kepentingan negara ketika itu amatdikesali apa lagi pemilihan untuk jawatan BWF itu sememangnya diadakan di Kuala Lumpur. 

"Selain itu, Lawrence juga dikatakan tidak mampu berbahasa Melayu dan ini pasti menyukarkan urusan BAM terutama dengan agensi kerajaan terutama Majlis Sukan Negara," kata seorang daripada Ahli Majlis BAM itu yang enggan namanya disiarkan. -Bernama

Lawrence Chew, BAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain