suria

Jumlah Atlet, Sukan Layak Ke Olimpik Masih Kurang - Tunku Imran

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar mengesahkan jumlah atlet negara dan jenis sukan yang layak ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil masih kurang berbanding edisi terdahulu.

Namun Tunku Imran tetap positif jumlah sukan dan atlet negara akan meningkat sebelum Mei tahun depan termasuk bagi acara berbasikal, menembak dan golf.

"Saya agak kecewa dengan jumlah sukan yang sudah layak ke Sukan Olimpik tetapi tetap yakin atlet negara masih mempunyai peluang dan angka itu dijangka meningkat.

"Saya jangkakan lebih ramai pemain badminton akan layak dan penembak negara juga perlu mengambil kesempatan di Kejohanan Kelayakan Olimpik Asia di New Delhi dari 25 Jan hingga 3 Februari depan.

"Pemain golf negara juga berpeluang beraksi di Sukan Olimpik tahun depan,"katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 'Jalur Gemilang' kepada kontinjen negara ke Sukan Olimpik Musim Sejuk di Lillehammer, Norway yang dijadualkan berlangsung dari 12-21 Feb 2016.  

Tunku Imran berkata Malaysia masih menyandarkan harapan kepada pemain badminton utama negara Datuk Lee Chong Wei untuk mendapatkan pingat emas di Sukan Olimpik tahun depan.

Chong Wei yang kini menduduki ranking kelima dunia mempunyai peluang terbaik layak ke Sukan Olimpik buat kali keempat berturut-turut selepas membuat penampilan pertama pada edisi 2004 di Athens, Greece.

Beliau hanya mara ke pusingan kedua di Athens sebelum menyumbang pingat perak di dua edisi berikutnya di Beijing (2008) dan London (2012).

Setakat ini hanya lima atlet sahaja yang sudah melayakkan diri ke Rio dengan empat daripada mereka - Pandelela Rinong Pamg, Ooi Tze Liang, Nur Dhabitah Sabridan Ng Yan Yee daripda acara terjun manakala seorang lagi adalah pemanah Khairul Anuar Mohamad.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain