suria

Tolak Kemasukan Pelayar Israel Tidak Jejas Reputasi Malaysia - Khairy

Khairy J(tengah) menyerahkan air daripada 80 negara yang menyertai Kejohanan Layar Remaja Dunia Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF) kepada kontinjen Malaysia sebagai tuan rumah untuk dilepaskan ke laut sempena pelancaran kejohanan itu pada Isnin. Foto Bernama

LANGKAWI: Kejayaan Malaysia menarik jumlah penyertaan paling ramai dalam Kejohanan Layar Remaja Dunia Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF) di sini membuktikan reputasi negara tidak terjejas biarpun telah menolak permohonan visa dua pelayar Israel ke kejohanan itu. 

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, kejohanan itu berjaya menarik seramai 433 orang pelayar dari 80 buah negara yang setakat ini berpuas hati dengan tahap penganjuran Malaysia. 

"Hari ini kita tengok semua gembira, berpuas hati dengan penganjuran Malaysia. Tak ada pun yang disebut oleh wakil World Sailing (ISAF) kepada saya pun berkenaan isu itu sebab mereka tahu dasar kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kejohanan itu malam Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan tidak membenarkan Yoav Omer dan Noy Drihan memasuki Malaysia baru-baru ini untuk menyertai kejohanan itu yang akan bermula Selasa.

Khairy berkata, keputusan itu bukan dibuat oleh beliau tetapi diputuskan Kabinet menurut dasar luar Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Khairy berkata, beliau tidak boleh menghalang ISAF untuk menjalankan siasatan berhubung keputusan Malaysia itu namun persekutuan dunia itu sudah dimaklumkan berkenaan pendirian negara tentang penglibatan Israel dalam mana-mana kejohanan dunia yang dianjurkannya. 

"Bila kita mendapat apa sahaja hak penganjuran, mereka sudah maklum kita ada dasar tertentu dan kita tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara tersebut (Israel) dan itulah satu daripada pertimbangan yang perlu dibuat oleh mana-mana persatuan dunia yang mahu memberi hak penganjuran kepada Malaysia," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden ISAF Chris Atkins yang turut berucap dalam majlis perasmian itu, berkata kejohanan tahun ini merupakan yang terbesar pernah dicatatkan berdasarkan jumlah pelayar dan negara yang menyertainya.

Katanya, kejayaan yang dicapai ini adalah hasil daripada komitmen yang ditunjukkan oleh pelayar-pelayar yang mengambil bahagian dan usaha keras Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) bagi memastikan kelancaran kejohanan ini.

"Kejohanan ini akan menjadi permulaan bagi perjalanan pelayar muda ini menuju Olimpik 2020 dan sebab itulah kami menggelarkan kejohanan ini sebagai satu permata," katanya. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jadual Liga Perdana Inggeris

Artikel Lain