suria

Istaf: Thailand Sekat Hajat Malaysia Raih Gelaran Kedua

Peserta Thailand, Anuwat Chaichana (kiri) dan pemain Malaysia, Khairol Zaman (Tengah) ketika aksi final Siri Super Istaf di Thailand, Jumaat.

KUALA LUMPUR: Hasrat regu sepak takraw lelaki negara untuk meraih gelaran kedua Siri Super Istaf 2014/15 tidak kesampaian setelah kalah "straight set" kepada musuh tradisi, Thailand pada aksi final pusingan akhir kejohanan di Gimnasium Perbandaran Nakhon Pathom, Thailand, Jumaat.

Malaysia sebelum ini memenangi gelaran sulung kejohanan selepas menundukkan pasukan yang sama pada pusingan kedua di Melaka, Februari lepas.

Pada aksi final, regu negara dibarisi Muhammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Farhan Adam (apit kiri) dan Khairol Zaman Hamir Akhbar (apit kanan) memberikan saingat sengit pada set pertama sebelum kalah tipis 20-22.

Trio Thailand yang diwakili Sittipong Khamchan (tekong), Anuwat Chaichana (apit kanan) dan Rangsirod Sirisamutsarn (apit kiri) jelas tidak memberi peluang kepada regu negara pada set kedua untuk melakar kemenangan 21-14, sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada pusingan ketiga di Gunsan City, Korea Selatan pada April lepas.

Pendatang baharu, Filipina pula mencipta kejutan selepas menundukkan Jepun, 21-19, 21-15 pada perlawanan penentuan ketiga/keempat.

Terdahulu, Thailand mengekalkan kejuaraan kategori wanita selepas mengalahkan Myanmar 21-6, 21-16 pada aksi final.

Korea Selatan pula menerima tentangan sengit dari Vietnam sebelum menang 21-17, 14-21, 21-16 pada perlawanan penentuan ketiga/keempat.

Regu wanita negara menduduki tangga kelima selepas mengalahkan Jepun 21-14, 21-17 pada aksi penentuan kelima/keenam pada Khamis.

Kejohanan kemuncak ini merupakan lanjutan daripada tiga Siri Super terdahulu bermula di Naypyitaw, Myanmar pada November 2014; Melaka, Malaysia (Februari 2015) sebelum Gunsan City, Korea Selatan menjadi tuan rumah pusingan ketiga pada April lepas.-- Bernama




Istaf, sepak takraw, Thailand

Artikel Lain