suria

Mohamed Al-Amin Kini Memangku Jawatan Presiden BAM - Tengku Mahaleel

Mohamed Al-Amin Abd Majid

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamed Al-Amin Abd Majid dilantik memangku jawatan presiden badan induk itu berikutan keadaan kesihatan penyandang, Tan Sri Tengku Mahaleel tidak mengizinkan.

Peralihan kuasa sementara tersebut berkuat kuasa serta-merta selepas mesyuarat Ahli Majlis BAM pada Ahad bersetuju dengan permintaan Tengku Mahaleel untuk mengambil cuti panjang kerana masalah kesihatan.

Tengku Mahaleel berkata, beliau memohon cuti atas sebab kesihatan dan Mohamed Al Amin bersetuju untuk mengambil alih tempatnya buat sementara.

"Sampai bila saya bercuti, ia bergantung pada tahap kesihatan saya. Saya akan membantu apa sahaja yang boleh saya bantu," katanya pada pemberita selepas mesyuarat itu di sebuah hotel di Subang, dekat sini.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak melepaskan jawatannya itu serta-merta dan yakin kepimpinan tertinggi BAM akan meneruskan program yang dirancang terutamanya Program Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016.

Tengku Mahaleel telah dipilih untuk menerajui persatuan itu bagi penggal  2013-2017.

Dalam pada itu, mesyuarat itu tidak mengeluarkan surat pelantikan rasmi kepada Mohamed Al-Amin tetapi hanya melibatkan persetujuan ahli Majlis BAM.

Menyentuh mengenai prestasi Datuk Lee Chong Wei, Tengku Mahaleel tidak menafikan prestasi jaguh badminton negara itu telah merundum dan berharap ini tidak menjejaskan persiapannya untuk menghadapi Sukan Olimpik tahun depan.

"Morten (Pengarah Teknikal BAM Morten Frost Hansen) telah menjelaskan masalah yang sedang dihadapi kini. Badminton juga seperti bola sepak ada pasang surut...saya percaya pihak kejurulatihan dan pemain akan berbincang untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Sementara itu, Mohamed Al-Amin, yang juga Ketua Kontinjen Negara ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, berkata beliau bersedia memikul tanggungjawab baharu itu.

"Sebenarnya tanggungjawab saya semakin berat tetapi ini adalah perkara yang perlu saya pikul. Tiada perancangan baharu cuma selepas ini saya akan memberikan tumpuan lebih kepada pemain dalam setiap kejohanan yang mereka sertai," katanya.

Menurutnya beliau akan akan memberikan tumpuan lebih tinggi dalam memantau prestasi pemain dalam setiap kejohanan dan program yang disediakan untuk memastikan badminton mencapai sasaran pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik itu.-- Bernama


Mohamed Al-Amin Abd Majid, BAM

Artikel Lain