suria

Cub Prix: Ketiadaan Zamri Beri Kesan Kepada Pasukan SCK

Pelumba-pelumba pasukan SCK berterusan memberi sokongan kepada Zamri.

PETALING JAYA: Hanya berbaki tiga pusingan sahaja lagi bagi memburu gelaran juara keseluruhan CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2015 pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing mengakui ketiadaan Mohd Zamri Baba amat dirasai terutama menjelang saingan pusingan kelapan di Litar Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor pada 17 dan 18 Oktober ini. 

Pada permulaan musim, mereka berada dalam posisi terbaik Zamri menamatkan perlumbaan di atas podium dan dilihat mempunyai peluang untuk membawa pulang gelaran keseluruhan individu dan berpasukan tahun ini.

Bagaimanapun, ruang besar untuk merebut kejuaraan sedikit terganggu selepas pelumba itu mengalami kemalangan sewaktu beraksi dalam saingan Kejuaraan Motosikal Asia FIM di Litar Sentul, Indonesia sekaligus terpaksa berehat seketika daripada arena perlumbaan. 

Ketiadaan Zamri jelas memberi keputusan negatif pasukan SCK apabila gagal mencapai keputusan memberangsangkan bermula pusingan kelima namun mereka tetap positif masih mampu bersaing untuk berada dalam kedudukan tiga pasukan terbaik pada musim ini. 

“Zamri merupakan ketua pelumba dalam pasukan memandangkan ciri-ciri sebagai seorang ketua terdapat ada dalam dirinya. Dia sentiasa memberi semangat dan membantu mereka yang lain untuk beraksi ke tahap lebih tinggi,” jelas pemilik pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda, Soong Chee Kieong. 

“Ketika ini pelumba yang mempunyai semangat seperti itu ialah pelumba muda kami, Mohd Hafiz Nor Azman. Namun dia masih mentah dari segi pengalaman dan belum cukup matang untuk memainkan peranan sebagai ketua.” 

Bercakap tentang aksi keseluruhan pasukan satelit Honda di dalam kejuaraan tempatan, Soong akui musim 2015 lebih memihak kepada kem Yamaha.

PETRONAS Yamaha Maju Motor kini mendahului senarai keseluruhan berpasukan dengan 156 mata diikuti Yamalube AHM kedua dengan 133 mata. 

Ketika ini, pasukan SCK terikat bersama pasukan PETRONAS Yamaha-CKJ di kedudukan ketiga dengan 128 mata.

Artikel Sebelum

Artikel Lain