suria

Kelayakan Euro 2016: Belanda Tersingkir, Turki Tempah Tiket Ke Perancis

Pemain-pemain Republik Czech (putih) merai kemenangan ke atas Belanda awal pagi Rabu.
PASUKAN Belanda tidak layak ke aksi akhir Euro 2016 selepas tewas 3-2 di tangan Republic Czech di laman sendiri pada saingan kelayakan bagi Kumpulan A awal pagi Rabu.


Pemenang ketiga Piala Dunia 2014 itu terlepas aksi akhir di Perancis tahun hadapan buat kali pertama sejak 1984.

Pada perlawanan itu, skuad bimbingan Danny Blind ini ketinggalan 2-0 dalam babak pertama selepas Pavel Kaderabek membuka jaringan pada minit ke-24. Manakala Josef Sural menambah gol kedua Czech pada minit ke-35.

Pasukan Republik Czech menambah jurang gol apabila Robin van Persie tersilap langkah menjaringkan gol sendiri minit ke-66 sekaligus menambahkan lagi tekanan buat Oranje.

Bagaimanapun Klaas-Jan Hunterlaar berjaya merapatkan jaringan gol minit ke-69 sebelum Van Persie menebus kesilapannya dengan gol kedua Belanda pada minit ke-82.

Biarpun pemain-pemain Belanda cuba mengejar untuk menyamakan jaringan, ketiadaan penyudah tajam menyebabkan mereka tewas di hadapan penonton sendiri.

Kali terakhir Belanda merangkul trofi kejuaraan ini pada tahun 1988 manakala meraih tempat ketiga pada aksi Euro 1992, 2000 dan 2004.

Selain itu, dalam satu lagi aksi kumpulan ini menyaksikan pasukan Turki berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Iceland sekaligus menempah tiket ke Perancis apabila mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga (18 mata) kumpulan.

Republik Czech mengambil alih posisi Iceland di tangga teratas dengan kelebihan dua mata (22) selepas 10 perlawanan.

Manakala Belanda hanya mencatat 13 mata dengan rekod empat kemenangan, satu seri dan lima kalah diikuti Kazakhstan (5) dan keenam kumpulan, Latvia lima mata tanpa sebarang kemenangan.



Kelayakan Euro 2016, Belanda

Artikel Sebelum

Artikel Lain