suria

Gerd Muller Menderita Penyakit Alzheimer

KELAB Bayern Munich mendedahkan bintang legenda Gerd Muller kini sedang menderita penyakit Alzheimer.

Muller mencatat 13 kejuaraan utama ketika bersama kelab Bavaria di antara tahun 1964 dan 1979 malah turut membantu Jerman Barat menjulang Piala Dunia 1974 termasuk menjaringkan gol kemenangan 2-1 ke atas Belanda pada aksi akhir dan trofi Kejuaraan Eropah pada tahun 1972.

"Sejak sekian lama, Gerd Muller berada dalam keadaan tidak sihat, beliau menderita dengan penyakit Alzheimer," jelas kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab Jerman itu.

"Pihak media dan orang ramai diminta agar menghormati privasinya dalam situasi sukar ini.

"Sejak Februari 2015 Muller diberi penjagaan profesional bersama sokongan penuh daripada ahli keluarga. Isterinya, Uschi meminta agar semua pihak memahami dan tiada lawatan atau temujanji rasmi pada hari lahirnya yang ke-70 (3 November)," tambah kenyataan tersebut.

Muller yang dikenali dengan panggilan 'Der Bomber' bersara dari dunia bola sepak pada tahun 1981 selepas beraksi di Amerika bersama penyerang Fort Lauderdale dan pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge yang turut memberi penghormatan kepada khidmat Muller di kelab itu.

"Gerd Muller antara salah seorang pemain bola sepak terhebat dunia. Tanpa jaringannya, Bayern FC dan Bola Sepak Jerman tidak akan berada seperti hari ini.

"Beliau merupakan seorang pemain yang menakjubkan, begitu juga sebagai kawan. Gerd sentiasa ada tempat di dalam keluarga Bayern ini.

"Selepas beliau bersara dari karier profesional, Gerd menggunakan pengalamannya sebagai jurulatih remaja dan turut membimbing pemain-pemain juara dunia seperti Philipp Lahm, Bastian Schweinsteiger dan Thomas Muller. Kami amat berterima kasih kepadanya," jelas Rummenigge.

Artikel Lain