suria

JDT II Lebur Rekod Tanpa Kalah Kedah

Pemain Johor Darul Tadzim ll (JDT ll), Mohd Zaquan Adha (dua kanan) bergembira bersama-sama rakan sepasukannya selepas membuat jaringan pada perlawanan Liga Malaysia antara Kedah menentang JDT ll di Stadium Darul Aman, Selasa.

ALOR SETAR: Juara Liga Perdana, Kedah gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tumpas 2-3 kepada Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pada aksi ketiga Kumpulan A kempen Piala Malaysia 2015 di Stadium Darul Aman, di sini malam Selasa.

Kekalahan pertama skuad Helang Merah itu, bagaimanapun tidak menjejaskan kedudukan mereka di tangga kedua kumpulan A walaupun berkongsi empat mata bersama JDT II selepas tiga perlawanan, menerusi kelebihan jaringan.

Pada aksi malam ini, penyerang Zaquan Adha Abdul Radzak muncul wira skuad Harimau Selatan selepas menjaringkan gol kemenangan pasukan pelawat pada minit ke-78 selepas beliau bijak memanfaatkan hantaran daripada kapten pasukan, Mohd Shahril Ishak.

Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi yang disaksikan hampir 25,000 penyokong Kedah dan sebahagian kecil penyokong pasukan pelawat.

Dua gol pasukan Kedah dijaringkan oleh Sandro Da Silva pada minit ke-37 dan Chidi Edeh pada minit ke-54, manakala JDT II meraih gol menerusi tandukan Mohd Shahril pada minit ke-14 dan pemain pertahanan, Baihakki Khaizan pada minit ke-45.

Skuad Helang Merah bakal melayan kunjungan wakil kelab Singapura, Lions XII di venue yang sama, Jumaat ini manakala JDT II dijadual menentang Terengganu di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu, selang sehari kemudian.


JDT II, Kedah, Piala Malaysia

Artikel Lain