suria

F1: Jenson Akan Terus Bersama McLaren - Dennis

Jenson Button

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) McLaren, Ron Dennis menegaskan Jenson Button tidak akan bersara dari aksi Formula Satu (F1) penghujung musim ini.

Kelibat Button pada Grand Prix Jepun menjadi tumpuan selepas juara dunia 2009 itu bercadang untuk mengumumkan persaraannya dalam aksi F1 sekiranya dia tidak lagi berlumba untuk McLaren musim depan.

Pelumba berusia 35 tahun itu berdepan dengan aksi buruk dalam kempen musim ini, malah mengakui dia sudah tidak ada perasaan sayang lagi kepada sukan ini.

Button menandatangani kontrak selama dua tahun dengan McLaren sebaik sahaja tamat saingan musim lalu, dan diberi pilihan bagi tahun kedua berdasarkan persetujuan bersama.

Selepas menyaksikan Button menamatkan saingan di kedudukan ke-16 di Litar Suzuka pada Ahad, Dennis tidak menunjukkan sebarang keraguan untuk terus menggunakan khidmat Button musim depan.

"Jenson mempunyai kontrak dua tahun. Saya patut ketepikan segala keraguan berkaitan komitmen kami terhadapnya lebih awal.

"Saya tidak bercakap dengannya sehingga Khamis lalu tetapi lebih baik sekiranya dia tahu bahawa saya tidak ada niat untuk menggunakan pilihan yang ada dengan menamatkan kontraknya.

"Segala keputusan bukan dari saya dan saya seorang. Setiap keputusan perlu mendapat sokongan daripada pemegang saham sebelum memaklumkan kepada Jenson dengan sewajarnya. 

"Tetapi perkaran ini sepatutnya sudah selesai beberapa hari lalu dan saya fikir tidak ada lagi isu yang timbul sekarang," jelas Dennis.

Sementara itu, Button dikaitkan dengan kerjaya baharu dalam dunia media sebagai pengacara Top Gear, selain mungkin akan menceburi perlumbaan Kejuaraan Endurance Dunia jika keputusan bersaranya itu kekal.

Jenson Button, McLaren, F1

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain