suria

Piala Liga: United Menang, Liverpool Berhempas-Pulas, Chelsea Berpesta Gol

Pemain Manchester United, Anthony Martial turut menyumbangkan gol bagi membantu kemenangan pasukannya.
KECUALI Newcastle United yang kalah 0-1 kepada Sheffield, kelab-kelab Liga Perdana Inggeris lain berjaya menyingkirkan lawan-lawannya dalam perlawanan pusingan ketiga Piala Liga, Rabu.

Liverpool terpaksa mengheret perlawanan untuk ke penentuan penalti sebelum menyingkirkan kelab division keempat Inggeris, Carlisle United.

Kedua-dua pasukan seri 1-1 pada 90 minit perlawanan setelah Danny Ings membawa Liverpool di hadapan pada minit ke-23, lalu disamakan oleh Derek Asamoah sebelas minit kemudian.

Bermain di hadapan penyokong sendiri di Stadium Anfield, Liverpool sempat mendapat ejekan penonton ketika pertandingan dilanjutkan ke masa tambahan.

Namum akhirnya skuad Brendan Rodgers tidak menambah api kemarahan para penyokong, setelah penjaga golnya Adam Bogdan menyelamatkan tiga tendangan pada babak penalti.

Penyerang baru Manchester United, Anthony Martial sekali lagi menyumbangkan gol untuk pasukannya yang menewaskan Ipswich dengan gol 3-0 di Stadium Old Trafford.

Dua gol lainnya disumbangkan oleh Wayne Rooney dan Andreas Pereira.

Walaupun Martial telah menyumbangkan gol keempat dari empat perlawanan, Louis van Gaal tetap ingin bersikap realistik.

"Itu tidak sukar kerana dia seorang pemain yang sangat sederhana dan dia tahu dia boleh menjaringkan gol disebabkan oleh rakan-rakan pemainnya," kata van Gaal.

"Sudah dua kali kami memudahkannya yang membantu kami menang perlawanan dan kemudian dengan jurang yang sedia ada, kepantasan dan kesabarannya, dia boleh menjaringkan gol.

"Dia melakukannya ketika menentang Liverpool dan kini sekali lagi. Kami gembira tetapi kita masih perlu berpijak di bumi nyata."

Sementara itu, Chelsea yang menurunkan Branislav Ivanovic, John Terry, dan Gary Cahill di barisan belakang, mampu meraih kemenangan 4-1 ke atas tuan rumah Walsall.

The Blues mendahului dengan gol Ramires pada minit ke-10 yang kemudian digandakan oleh Louic Remy pada minit ke-41.

Pemain-pemain Jose Mourinho kemudian menambah dua gol lagi di babak kedua menerusi Nunes do Nascimento dan Pedro.

Keputusan sempurna juga diraih oleh Southampton yang membelasah MK Dons dengan gol 6-0. Ini adalah pertama kali dalam sejarah MK Dons bolos enam gol dalam satu pertandingan kompetitif. 

Dalam perlawanan tersebut, Jay Rodriguez, Shane Long, dan Sadio Mane sama-sama menyumbat dua gol dan membuat The Saints sekurang-kurangnya dapat melupakan mimpi buruk apabila hanya menang satu kali dari enam pertandingan di Liga Perdana Inggeris. 

Seorang lagi pengurus lain yang bersenang hati adalah Alan Pardew yang baru saja membawa Crystal Palace menang 4-1 atas kelab Charlton Athletic.

Kemenangan ini diwarnai oleh Dwight Gayle yang melakukan hatrik pada babak kedua, sementara satu gol lain disumbat masuk oleh Frazier Campbell. 



Piala Liga, pusingan ketiga

Artikel Berikut

Keputusan Piala Liga, Khamis

Artikel Lain