suria

Button Hanya Minat McLaren, Bakal Umum Persaraan

JENSON Button bakal mengumumkan persaraannya dalam aksi Formula Satu (F1) sebaik sahaja tamat saingan musim ini.

Pelumba berusia 35 tahun itu merancang untuk meninggalkan sukan permotoran ini selepas mengadakan perbincangan mengenai masa depannya dengan pengerusi McLaren, Ron Dennis.

Menurut laporan Daily Mail, juara dunia 2009 itu berkemungkinan juga akan mengumumkan keputusan tersebut minggu ini menjelang perlumbaan Grand Prix Jepun.

Button berkata, hasil perbincangan dengan McLaren sebelum ini amat menggalakkan untuk dia terus bersaing pada musim 2016, malah kemungkinan besar bersetuju dengan perjanjian baharu nanti. Namun sebaliknya berlaku minggu lalu.

Pelumba kelahiran United Kingdom ini mengakui tidak berminat untuk berlumba dengan pasukan lain musim depan dan hanya mahu bersama McLaren, namun difahamkan beberapa faktor dalaman menyebabkan rundingan yang berlangsung selepas Grand Prix Singapura Ahad lalu tidak berjalan lancar.

Punca situasi itu berlaku selepas Button dilaporkan menuntut gaji yang lebih tinggi sekaligus mampu memberi 'kejatuhan' kepada McLaren, lebih-lebih lagi dengan aksi hambar musim ini.

"Jika saya berlumba musim depan, saya mahu bersama McLaren. 

"Inilah pasukan yang saya berlumba sejak bertahun-tahun dengan melalui pelbagai kenangan pahit dan manis," jelas Button.

Bagaimanapun Button enggan mendedahkan punca sebenar sehingga dia membuat keputusan untuk bersara.

Sebagai rekod, Button berjaya mencatat 15 kejuaraan daripada 278 perlumbaan dalam 16 musim F1 sejak membuat penampilan pertama bersama Williams pada usia 19 tahun.

Jika Button bertekad untuk bersara, posisinya dijangka akan digantikan oleh rakan sepasukannya musim lalu, Kevin Magnussen selain pilihan kedua, Stoffel Vandoorne.

Jenson Button, F1, McLaren

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain