suria

Pahang, JDT Terus Rentak Kemenangan

Pemain ATM, Mario Karlovic cuba menanduk bola sambil diasak oleh pemain JDT, Harris Harun pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam Sabtu. JDT menewaskan ATM dengan 3-2. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Pahang meneruskan rentak cemerlang dalam kempen Piala Malaysia 2015 apabila melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas mengalahkan PKNS FC 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, dekat sini, malam Sabtu.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad Tok Gajah menerajui kedudukan teratas kumpulan D dengan kutipan maksimum enam mata selepas dua perlawanan.

Dua gol Pahang dijaringkan oleh Azammuddin Mohd Akil pada minit ke-59 dan sepakan penalti yang disempurnakan pemain import, Dickson Nwakaeme pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

Dalam satu lagi aksi kumpulan D, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkongsi satu mata dengan Pulau Pinang selepas seri 3-3 di Stadium Shah Alam.

Tiga gol PDRM dijaringkan oleh Shahurain Abu Samah pada minit ke-32, Ali Ashfaq (43') dan Mohamadou Sumareh pada minit ke-87 manakala tiga gol pasukan pelawat dijaringkan oleh Mohd Azinee Taib pada minit ke-20 dan minit ke-80 serta Lee Gil-Hoon pada minit ke-56.

Dalam saingan kumpulan B, juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) turut melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas menang tipis 3-2 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Tiga gol skuad Harimau Selatan dijaringkan oleh Marcos Antonio pada minit kelapan, Mahalli Jasuli (26') dan kapten pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-51.

ATM bangkit merapatkan defisit jaringan menerusi dua sepakan penalti yang disempurnakan oleh dua pemain import iaitu Abdulafees Abdulsalam pada minit ke-67 dan Jerry Palacios pada minit ke-90.

Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan Perak meraih kemenangan sulung dalam satu  lagi aksi kumpulan B selepas mengalahkan Sarawak 1-0 hasil jaringan tunggal Bobby Gonzales pada minit ke-63.

Juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor turut mencipta kemenangan sulung dalam aksi kumpulan C selepas menang tipis 1-0 ke atas T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Gol tunggal Selangor dijaringkan oleh pemain import, Guilherme De Paula pada minit ke-50.

Dalam pada itu, tandukan pemain pertahanan Lions XII, Safuwan Baharudin pada masa kecederaan babak kedua perlawanan membantu skuad muda negara Seberang Tambak itu menundukkan JDT II 2-1 pada aksi tunggal kumpulan A di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu.

Terdahulu, kedua-dua pasukan seri 1-1 dengan Safuwan meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-22 sebelum penyerang import dari Argentina, Nicolas Delmonte menyamakan kedudukan untuk JDT II menerusi sepakan penalti pada minit ke-72.

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Perdana Inggeris

Artikel Berikut

Artikel Lain