suria

De Gea Mahu Perbaharui Kontrak Bersama Manchester United

David De Gea.

DAVID De Gea mahu menandatangani kontrak baharu bersama Manchester United selepas perpindahannya ke Real Madrid tidak menjadi kenyataan, menurut laporan di Sepanyol.

Timbul khabar angin pada malam Khamis yang mendakwa rundingan kontrak masih terbuka antara United dan De Gea.

Presiden Real Madrid Florentino Perez pada malam Rabu mengemukakan beberapa bukti bahawa United telah merosakkan perjanjian tersebut.

Malah United dikatakan tidak lagi membenarkan Real Madrid untuk mendapatkan khidmat bintang Sepanyol itu ketika pintu perpindahan pemain dibuka semula Januari tahun depan.

Ini menyebabkan penjaga gol berusia 24 tahun itu terdesak untuk menandatangani kontrak baharu bersama Red Devils.

Perjanjian baharu itu akan menyaksikan De Gea yang menerima pendapatan sebanyak 35,000 pound seminggu akan mendapat kenaikan menyamai gaji yang diterima pemain terkemuka kelab tersebut.

El Confidencial turut melaporkan hubungan Perez dan ejen De Gea, Jorge Mendes yang mewakili beberapa pemain Madrid mulai renggang.

"Di Real Madrid, Jorge Mendes mewakili tiga pemain.

"Cristiano, Pepe dan James Rodriguez, tiga pemain hebat yang diwakilinya.

“Jorge Mendes tidak mempengaruhi Real Madrid," kata Perez kepada Radio Cope.

Terdahulu, Perez meminta De Gea supaya membuat pilihan terbaik untuk dirinya.

"Adalah lebih selamat untuk mengatakan bahawa kami tidak akan mendapatkan khidmatnya pada Januari akan datang," kata Perez.

Artikel Lain