suria

Khairy Serah Kepada Atlet Tentukan Pakaian

Khairy Jamaluddin
SINGAPURA: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyerahkan kepada atlet sendiri membuat keputusan mengenai pakaian yang sesuai dipakai oleh mereka ketika menyertai kejohanan sukan masing-masing.

Beliau berkata Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) menyambut baik cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom agar satu garis panduan dikeluarkan bagi panduan atlet beragama Islam demi menjaga kesucian agama Islam.

"KBS bagaimanapun tidak boleh menghalang atlet dalam soal ini, namun kita akan beri mereka garis panduan mengenai etika berpakaian untuk atlet beragama Islam.

"Terserah kepada atlet itu sendiri menentukan pakaian yang mereka pakai selagi ianya tidak melanggar peraturan kejohanan ataupun ketetapan yang telah dibuat oleh badan induk sukan dunia masing-masing," katanya kepada pemberita Selasa.

Isu pakaian pemenang pingat emas acara gimnastik kategori rutin senam lantai, Farah Ann Abdul Hadi di temasya Sukan SEA ke-28 Singapura 2015 hebat diperkatakan di laman sosial apabila sebuah stesen televisyen swasta memuat naik gambar yang dikatakan menjolok mata selepas beliau memenangi pingat emas di temasya sukan dwitahunan itu.

Khairy berkata dalam kes Farah Ann, KBS tidak boleh memaksa gimnas negara itu memilih pakaian tertentu ketika beraksi sebaliknya beliau bebas membuat pilihan sendiri berdasarkan keselesaannya selagi ianya tidak bercanggah dengan peraturan yang ditetapkan oleh Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG).

Isu berkenaan turut mendapat perhatian Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) apabila badan induk sukan gimnastik kebangsaan itu bercadang untuk mengemukakan cadangan berhubung etika berpakaian bagi gimnas yang beragama Islam kepada FIG.

Sementara itu Khairy berkata beliau telah meminta Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU) supaya segera menghantar laporan kepada KBS berhubung tindakan pemain Algeria menyerang pemain dan penyokong negara selepas mereka tidak berpuas hati dengan kemenangan 19-11 Malaysia pada aksi final Piala Crescent di Padang Politeknik Merlimau, Melaka semalam.
 
Pada kejadian semalam, sekurang-kurangnya 12 pemain ragbi negara dikejarkan ke Hospital Besar Melaka apabila pemain Algeria mengamuk membelasah pemain Malaysia.

Susulan daripada kejadian itu, dua pemain negara iaitu Mohd Razmi Rozan patah jari tangan kiri manakala Abu Hurairah Tahir patah gigi.

Khairy berkata perkara tersebut tidak sepatutnya terjadi lebih-lebih lagi membabitkan kejohanan bertaraf antarabangsa kerana ianya membabitkan imej negara.

"Kita harap MRU dapat menyerahkan segera laporan kejadian agar KBS dapat mengetahui apakah punca yang membawa kepada pergaduhan tersebut sama ada melibatkan pasukan yang bertanding ataupun kesilapan yang dilakukan oleh pihak penganjur sendiri.

"KBS akan mengambil tindakan terhadap insiden tersebut selepas menerima laporan daripada MRU,"katanya.

Artikel Lain