suria

Anak & Isteri Beri Penghormatan Terakhir Kepada Oniya

Rogozina Ryubov dan anak perempuannya Angel, 5, ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Selasa. -foto THE STAR
KUALA NERUS: Rogozina Ryubov dan anak perempuannya berusia lima tahun, Angel, tiba dari Rusia pada Selasa untuk memberi penghormatan terakhir kepada suaminya mendiang David Faramola Oniya.

Wanita tersebut, yang tinggal di Uzbekistan, mengakui sanggup terbang ke Malaysia bersama anak tunggalnya semata-mata untuk menatap wajah suaminya buat kali terakhir sebelum jenazah suaminya dihantar pulang ke Nigeria.

Oniya, selaku ketua pasukan bola sepak T-Team, meninggal dunia semasa perlawanan persahabatan dengan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Baharu, Sabtu lepas.

"Biarlah mayat itu dibawa pulang ke kampung halamannya (Nigeria) sahaja.Mereka (keluarga Oniya) lebih berhak," katanya ringkas ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini.

Turut hadir wakil pasukan T-Team serta dua lagi pemain import kelahiran Uzbekistan yang beraksi bersama pasukan itu iaitu Sadriddin Abdulaev dan Farhod Tadjiev.

Kesemua mereka kemudian bergegas menaiki van ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Baharu bagi memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Oniya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi T-Team, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata bapa mendiang James Oniya dijangka tiba dari Nigeria pada Sabtu ini selepas urusan visanya selesai.

Beliau berkata proses penghantaran jenazah Oniya ke Nigeria dijangka dapat dilakukan dalam masa terdekat.

Pemain pertahanan kelahiran Lagos, Nigeria, berusia 30 tahun itu tiba-tiba rebah ketika perlawanan baru berlangsung tiga minit dan beliau dihantar ke HRPZ II.

Bagaimanapun, pemain import itu disahkan meninggal dunia pukul 10.05 malam akibat komplikasi jantung.

Sebelum menyarung jersi pasukan T-Team musim ini, Oniya pernah bermain bersama kelab Neftchi FK (Fergana) dalam liga Uzbekistan.
Rogozina Ryubov, Oniya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain