suria

Sukan SEA: Wei Feng Tamatkan Kemarau 14 Tahun Pingat Emas

SINGAPURA: Skuad badminton negara menambah dua pingat emas dalam acara perseorangan lelaki dan beregu wanita buat kontinjen negara di Sukan SEA ke-28 Singapura. 

Pemain perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng mudah mengenepikan rakan sepasukannya Muhamad Arif Ab Latif  dengan straight set 21-8 dan 21-9 dalam perlawanan akhir di sini.

Wei Feng berkata dia sangat berpuas hati dapat menebus kekecewaan dua tahun lepas di Myanmar apabila sekadar bersaing di pusingan awal sahaja.

Kemenangan itu juga menamatkan penantian 14 tahun negara meraih pingat emas dalam acara perseorangan lelaki.

"Saya sangat berpuas hati dapat pingat emas sebab sudah lama perseorangan lelaki tidak dapat pingat emas di Sukan SEA. Prestasi saya juga semakin baik, saya harap akan terus meningkat dan layak ke Sukan Olimpik," kata Wei Feng. 

Dalam satu lagi final, beregu wanita negara, Soong Fie Cho/Amelia Alicia Anscelly menewaskan beregu sepasukan mereka Vivian Hoo/Woon Khe Wei untuk meraih pingat emas.

Fie Choo dan Amelia mudah menewaskan Vivian dan Khe Wei dengan straight21-18 dan 21-13 dalam satu lagi perlawanan final.

Bagi Amelia kemenangan itu menaikkan semangat mereka untuk melakar kejayaan lebih besar selepas ini.

"Memang kami puas hati sebab dapat kalahkan beregu utama negara, kami bukan nombor dua (dalam kedudukan beregu wanita negara). Saya memang tidak pernah putus asa. Menang pingat emas di Sukan SEA memang paling bermakna buat saya,"katanya.

"Persefahaman dan komunikasi yang baik bersama Fie Choo hari ini menjadikan kami lebih bersemangat. Kami juga bermain tanpa tekanan," kata Amelia.

Sementara itu beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying sekadar meraih pingat perak selepas tewas kepada Praveen Jordan/Debby Susanto dari Indonesia dalam pertembungan sengit 21-18, 13-21 dan 23-25.

Kali terakhir beregu campuran meraih pingat emas di Sukan SEA ialah menerusi Chew Choon Eng/Chor Hooi Yee di Brunei pada 1999.

Skuad badminton menyumbang dua pingat emas dan empat pingat perak dan dua pingat gangsa pada hari terakhir acara badminton dipertandingkan.

Artikel Lain