suria

Sukan SEA: Hoki Wanita Mampu Ulangi Kejayaan Di Singapura

Pasukan wanita Malaysia meraih emas pada Sukan SEA di Myanmar 2013.

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad hoki wanita negara Mohd Nasihin Nubli Ibrahim yakin pasukan Malaysia mampu mengulangi kejayaan pada temasya Sukan Sea Singapura pada Jun.

Mohd Nasihin berkata skuad negara tidak menghadapi tekanan untuk mempertahankan kejayaan buat kali kedua beturut-turut, namun beliau tidak mahu anak buahnya berada dalam keadaan selesa.

"Moral dan semangat pemain saya semakin baik selepas mereka kecewa apabila tewas kepada Poland pada kejohanan Liga Dunia di India baru-baru ini. Saya tidak nafikan semangat pemain merudum selepas kekalahan itu.

"Walaupun di peringkat Asia Tenggara skuad negara tidak menghadapi tekanan yang tinggi namun mereka tidak boleh memandang rendah kepada pasukan lain terutama Thailand yang dilihat merupakan ancaman kepada pasukan negara, "katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Impian skuad hoki wanita Malaysia untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik tahun depan tidak kesampaian apabila kalah 0-1 kepada Poland pada separuh akhir pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Stadium Nasional Major Dhyan Chand.

Sebagai rekod, skuad negara bukan sahaja mempertahankan pingat emas namun mereka berjaya mencipta rekod dunia dengan menewaskan Kemboja 36-0 pada Sukan Sea 2013 di Myanmar.

"Mencipta rekod dunia bukanlah misi utama kami tetapi saya mahu pemain menjaga standard dan kualiti permainan mereka pada setiap aksi perlawanan mereka di sana," katanya.

Skuad hoki wanita dan lelaki negara pernah meraih pingat emas pada Sukan SEA 2013 Myanmar dan 2007 di Korat, Thailand. Bagaimanapun, pada temasya 2009 di Vientiane, Laos, dan 2011 di Palembang, Indonesia, acara berkenaan tidak dipertandingkan. 

Hoki wanita, sukan SEA

Artikel Lain