suria

Porto Kejutkan Bayern Munich 3-1

Quaresma (tengah) menjaringkan dua gol untuk Porto.
PORTO: Jaringan awal Ricardo Quaresma dan gol Jackson Martinez pada separuh masa kedua membantu Porto mengejutkan Bayern Munich 3-1 pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah di sini awal pagi Khamis.

Pasukan tuan rumah itu beraksi cemerlang untuk mencipta dua gol dalam tempoh 10 minit pertama permainan dengan Quaresma menyempurnakan sepakan penalti dan jaringan kemas selepas itu untuk membolosi benteng pertahanan Bayern.

Juara lima kali itu yang dibelenggu masalah kecederaan pemain, bangkit untuk cuba menyelamatkan permainan apabila pemain tengah, Thiago Alcantara menemui gawang pada minit ke-28.

Namun, Martinez memanfaatkan kesilapan Jerome Boateng pada minit ke-65 dengan menewaskan penjaga gol Bayern, Manuel Neuer untuk mengembalikan kelebihan dua gol Porto menjelang perlawanan timbal balik pada Rabu depan. 

Porto dilihat berpeluang cerah untuk mara ke pusingan separuh akhir pertama sejak memenangi kejohanan tersebut ketika dibawah bimbingan Jose Mourinho pada 2004.

"Kami cuba melakukan yang terbaik untuk tidak memberikan sedikit peluang kepada Bayern. Kami berdepan salah sebuah pasukan terkuat dalam sejarah. Aksi paling sukar kini adalah pertemuan di Munich," kata Pengurus Porto, Julen Lopetegui.

Sementara itu, Pengurus Bayern, Pep Guardiola yakin peluang untuk mara ke separuh akhir pertama tetap ada kerana mereka ada satu lagi perlawanan getir yang perlu diharungi.

"Masih ada satu lagi perlawanan. Kami sedikit kecewa tetapi kami ada tempoh enam hari untuk mengenal pasti kelemahan pasukan.

"Kami mempunyai ramai pemain yang dibelenggu kecederaan sekali gus menjejaskan pretasi pasukan," katanya.

Barisan pemain:

Porto: Fabiano, Danilo, Martins Indi, Maicon, Alex Sandro, Casemiro, Brahimi, Herrera, Óliver Torres, Quaresma, Martínez. Pemain gantian: Helton, Reyes, Evandro, Ruben Neves, Quintero, Hernani, Aboubaker.

Bayern Munich: Neuer, Alonso, Dante, Thiago, Lewandowski, Rafinha, Boateng, Bernat, Götze, Lahm (C), Müller. Pemain gantian: Reina, Lucic, Pizarro, Gaudino, Rode, Badstuber, Weiser.


Artikel Lain