suria

Kamara Bakal Hidupkan Semula Jentera Serangan JDT

Alhaji Kamara bakal bersama JDT musim ini.

JOHOR BARU: Penyerang import baharu, Alhaji Kamara dari Sierra Leone bakal menghidupkan kembali jentera serangan pasukan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada saingan Liga Malaysia musim ini.

Pemain yang akan berusia 21 tahun pada 16 April ini dipinjamkan daripada kelab Sweden, IFK Norrkoping dengan pilihan untuk dibeli oleh pasukan Harimau Selatan itu bagi melengkapkan baki saingan liga musim ini.

Kamara dijangka digandingkan dengan seorang lagi pemain import baharu, Patricio Rodriquez dari Argentina dalam mengisi posisi penyerang, selepas pemergian dua pemain import, Luciano Figueroa dan Jorge Pereyra Diaz.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata baginda mengikuti aksi Kamara selama beberapa bulan sebelum memikat pemain itu.

"Berdasarkan statistik, kami suka dengan apa yang diperhatikan. Pemain ini muda dan mempunyai keazaman tinggi untuk mencapai sesuatu dan itu yang diperlukan oleh kelab," katanya kepada pemberita semasa memperkenalkan pemain itu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, Jumaat.

"Kami memerlukan lebih suntikan berbisa di barisan depan dan kami fikir adalah penting untuk mempunyai pemain dengan bentuk fizikal dan ketinggian 1.80m sepertinya.

"Dia mempunyai impian dan sebab itu kami mendapatkannya untuk JDT," katanya.

Mengenai masa depan pemain itu, Tunku Ismail berkata mereka bersedia mengikat pemain itu jika persembahannya baik serta pemain itu gembira tinggal di sini.

Dalam pada itu, Kamara, yang tiba di sini semalam, berkata beliau menyertai JDT selepas tertarik dengan kemudahan dan kualiti pasukan itu.

Biarpun atas dasar pinjaman, saya bersedia berusaha dengan gigih dan menyumbang kepada kejayaan JDT, katanya.-- Bernama




Alhaji Kamara, JDT, Sierra Leone

Artikel Lain