suria

Thien How Minta BAM Beri Maklum Balas Segera Berhubung Masa Depannya

Hoon Thien How

KUALA LUMPUR: Bekas pemain beregu lelaki negara, Hoon Thien How berharap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dapat memberi jawapan segera berhubung surat peletakan jawatan yang dihantar pada 4 Februari lepas.

Pemain berusia 28 tahun itu yang kini tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan berkata, kegagalan badan induk badminton negara itu memberikan jawapan balas akan menyukarkannya untuk menentukan hala tuju pada masa akan datang.

"Saya belum menerima apa-apa jawapan daripada BAM setakat ini dan masih menunggu. Kalau boleh, saya harap BAM akan beri keputusan minggu ini kerana saya tidak boleh menunggu lama," katanya.

Thien How berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Hari Kesihatan 2015, anjuran syarikat insuran AmMetLife di Sekolah Kebangsaan La Salle (2) di Jinjang, dekat sini, Isnin.

Beliau dan seorang lagi pemain beregu negara, Lim Khim Wah dilaporkan menyerahkan surat berkenaan pada 4 Februari lepas kerana dikatakan gagal mencapai peningkatan di bawah BAM.

Sebelum ini, empat pemain negara mengumumkan keputusan mereka untuk keluar daripada BAM atas alasan berbeza iaitu pasangan adik-beradik Ng Hui Lin dan Ng Hui Ern (beregu wanita); Ong Jian Guo (beregu campuran) dan perseorangan wanita, Yang Li Lian.

Ditanya sama ada berminat beraksi di bawah naungan kelab swasta selepas ini, Thien How berkata, ia terpulang kepada jawapan balas yang bakal diberikan oleh BAM nanti.

Sebagai rekod, antara kejayaan yang pernah dikecapi Thien How bersama skuad negara adalah meraih pingat gangsa pada Sukan Asia 2014 di Korea Selatan bersama Tan Boon Heong selain pernah muncul juara beregu remaja dunia pada 2004 juga bersama Boon Heong.-- Bernama


Hoon Thien How, BAM, badminton

Artikel Lain