suria

Hoki: Ujian Kecergasan Sebelum Masuk Skuad Utama - Beng Hai

Faizal (tengah) kembali berlatih bersama pasukan.
KUALA LUMPUR: Kontroversi rajuk penyerang prolifik hoki negara, Faizal Shaari akhirnya berakhir apabila pemain itu membuat keputusan positif untuk kembali bersama rakan sepasukan pada petang Isnin.

Jurulatih negara, Tan Beng Hai megesahkan Faizal kembali bersama rakan-rakan lain dan mula menjalani latihan.

“Ya, pada petang Isnin Faizal kembali menyertai skuad latihan negara bersama 24 lagi orang pemain. Sudah tentu dia akan melalui beberapa ujian kecergasan dan lain-lain sebelum berangkat ke New Zealand bagi menghadapi perlawanan persahabatan Khamis depan. 

“Esok pagi (Rabu) akan adakan sesi latihan dan dalam masa sama akan menilai perkembangan setiap pemain termasuk Faizal,” katanya kepada media selepas majlis pengumuman tajaan bagi Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah April ini di Ipoh, Perak.

Beng Hai berkata, perlawanan persahabatan bertemu New Zealand ini amat penting bagi persiapan untuk mengharungi saingan Piala Sultan Azlan Shah minggu depan dan Liga Hoki Dunia Pusingan Ketiga di Belgium Jun ini.

“Di New Zealand nanti, saya akan menilai prestasi dan dalam masa sama akan cuba memastikan setiap pemain dapat bermain. Ini penting kerana saya akan membuat pemilihan akhir untuk aksi Piala Sultan Azlan Shah.

“Dan selepas itu, kejohanan di Ipoh dianggap sebagai situasi sebenar perlawanan besar dalam persiapan ke liga dunia nanti. Di sinilah akan menjadi  medan untuk memilih pemain terbaik ke Belgium.

“Saya berharap semua pemain akan menunjukkan prestasi terbaik,” jelasnya.

Faizal dikatakan merajuk kerana bayaran bonus yang dijanjikan belum dilunaskan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC)  sehinggakan dia membuat keputusan untuk tidak menyertai kem latihan skuad kebangsaan selepas menjuarai Liga Hoki Dunia Pusingan Kedua di Singapura Januari lalu.

Bagaimanapun rajuknya itu tidak berpanjangan selepas Presiden MHC Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta agar Faizal kembali menyertai latihan dan isu bonus semua pemain akan diselesaikan secepa mungkin.
Faizal Shaari, Tan Beng Hai

Artikel Berikut

Artikel Lain