suria

AS Lancar Kempen Bida Hos Piala Dunia 2026

Jeffrey Webb menyuarakan pandangan mengenai Piala Dunia FIFA 2026.

AMERIKA Syarikat sekali lagi membida untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2026.

Sebelum ini, AS kecewa kerana Qatar dipilih untuk menganjurkan acara sukan tersebut pada 2022.

Pada masa sama, Mexico dan Kanada juga dilihat berminat untuk menjadi tuan rumah acara berprestij itu.

Presiden CONCACAF dan Naib Presiden FIFA, Jeffrey Webb menggesa pentadbir bola sepak global untuk memberi peluang penganjuran Piala Dunia kepada salah satu daripada negara di rantau ini.

"Bola Sepak semakin pesat membangun di Amerika Utara. Sudah pasti kita mempunyai kata putus daripada Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat.

"Apabila anda melihat infrastruktur yang ada di Amerika Syarikat, saya percaya tidak ada pelan seumpamanya di dunia dan Amerika Syarikat boleh menjadi tuan rumah Piala Dunia," katanya kepada BBC Sport.

Sementara itu, Setiausaha Agung FIFA, Jerome Valcke berjanji akan memastikan pihaknya telus dalam mempertimbangkan bidaan itu berikutan kontroversi kejohanan 2018 dan 2022.

Kejohanan ini akan diundi oleh semua 209 ahli Kongres FIFA pada Mei 2017, bukannya jawatankuasa eksekutif seperti mana yang berlaku pada 2010.

Sebelum ini, Colombia juga menyatakan niat untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2026, selain China yang difahamkan turut sama berminat.

Bagaimanapun, acara itu tidak mungkin diberikan kepada negara Asia kerana Qatar dipilih sebagai tuan rumah pada 2022.


Artikel Berikut

Artikel Lain