suria

Kutipan Filem 'The Red Warriors The Movie' Dijangka Cecah RM3 Juta

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan Tan Sri Annuar Musa (kiri) bersama Ketua Pasukan The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Mohd Radzi menunjukkan jersi baru pasukan pada Majlis Memperkenalkan Edisi Terkini Jersi TRW 2015, Jumaat. -fotoBERNAMA
KOTA BAHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menjangkakan kutipan filem 'The Red Warriors (TRW) The Movie' yang dihasilkan oleh pihaknya mampu mencecah RM3 juta.

Presidennya Tan Sri Annuar Musa berkata filem berkenaan dijangka dapat ditayangkan pada September depan.

"Kalau diluluskan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) ia akan ditayangkan minggu ketiga September ini dan sekarang ia tertakluk kepada kelulusan yang diberi oleh Finas.

"Kita tidak ada sasaran tertentu untuk filem ini tetapi kita jangka kutipan filem boleh mencecah RM3 juta dan ada kemungkinan lebih," katanya kepada pemberita selepas Majlis Memperkenalkan Edisi Terkini Jersi The Red Warriors (TRW) 2015 di sini, Jumaat.

Beliau berkata proses penghasilan filem berkenaan mengambil masa hampir setahun dan kosnya mencecah RM2 juta.

"Kos agak tinggi dan ini merupakan kaedah untuk memperkasakan TRW, ia juga untuk membina imej pasukan itu sendiri.

"Selain itu, filem ini amat menarik kerana pemain berlakon dan saya turut berlakon walaupun kami bukan pelakon utama dan jalan cerita menceritakan mengenai bola sepak," kata Annuar.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata pihaknya bercadang untuk bekerjasama dengan pengusaha hotel bajet bagi menghasilkan sebuah hotel yang bertemakan bola sepak di Kelantan dan Kuala Lumpur.

"Kita sedang berbincang dengan pengusaha hotel dan ini merupakan sesuatu yang baharu contohnya setiap tingkat akan ada imej bola sepak seperti Piala Dunia ataupun Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Kita berharap hujung tahun ini ia dapat beroperasi kerana ia sangat unik dan ia mungkin yang pertama di sini (Malaysia)," katanya.

Mengulas mengenai majlis berkenaan, Annuar berkata jersi yang dilancarkan hari ini akan menjadi jersi rasmi untuk pasukan Kelantan dan digunakan sepanjang musim ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain