suria

Piala AFC: Laluan Getir Skuad Tok Gajah Bertemu Global FC

Zainal Abidin Hassan (dua, kanan) menjawab soalan ketika sidang media sebelum perlawanan Piala AFC menentang wakil Filipina Global FC. Turut hadir Penolong Jurulatih Global FC Dan Padernal (dua, kiri), Kapten Pahang Damion Delano Stewart (kanan) dan Kapten Global FC Mark Hartmann. Foto: BERNAMA

KUANTAN: Skuad Tok Gajah bakal berdepan cabaran getir menumpaskan Global FC dalam saingan Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Darul Makmur pada Rabu berikutan beberapa tonggak utama dibelenggu masalah kecederaan.

Lebih memeritkan apabila kapten pasukan, Razman Roslan turut tidak dapat beraksi setelah menerima kad merah pada perlawanan menentang pasukan Yadanarbon FC dari Myanmar pada 25 Februari lepas.

Pengendali Pahang Zainal Abidin Hassan, bagaimanapun tetap optimis dengan berbekalkan momentum kemenangan ke atas Sime Darby dalam aksi Liga Super baru-baru ini, skuad Tok Gajah mampu menumbangkan pasukan dari Filipina itu untuk mengutip tiga mata penuh.

"Kami sudah bersedia berdepan pasukan Global FC dan Pahang seharusnya menggunakan kelebihan bermain di laman sendiri untuk mencatat kemenangan bagi memperoleh mata penuh dan meneruskan kemaraan ke peringkat seterusnya.

"Momentum kejayaan menumbangkan Sime Darby dalam Liga Super yang merupakan kemenangan sulung Pahang juga menyuntik semangat pemain untuk mempamerkan prestasi terbaik," katanya pada sidang media menjelang perlawanan itu, Selasa.

Beliau berkata penyertaan pada Piala AFC boleh diibarat antara pencapaian terbaik pasukan Pahang dan ia tidak seharusnya disia-siakan oleh pemain.

Sementara itu, jurulatih Global FC Leigh Manson berkata pasukannya yang kini berada di tangga teratas liga domestik berada dalam prestasi terbaik untuk menewaskan Pahang.

"Saya berharap pemain fokus pada perlawanan itu walaupun menghadapi jadual perlawanan yang padat. Ini kali pertama kami layak menyertai saingan Piala AFC dan sudah semestinya semangat kami membara.

"Kami akan bermain dengan baik dan berusaha melakar kemenangan di gelanggang lawan," katanya. 

Dalam pada itu, beliau gembira dengan perkembangan bola sepak Filipina dengan keupayaan Global FC bersaing pada kejohanan berprestij itu dan ia boleh dianggap satu proses pembelajaran dalam memajukan sukan tersebut di negara berkenaan.

Pahang, Tok Gajah, Piala AFC

Artikel Sebelum

Artikel Lain