suria

Isu Tiada Padang Latihan Selesai - PBSNT

Arpin Draman

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) pada Selasa mengesahkan bahawa isu ketiadaan padang latihan pasukan bola sepak Liga Super Terengganu telah pun diselesaikan.

Setiausaha PBSNT Arpin Draman berkata skuad Terengganu di bawah kendalian Abdul Rahman Ibrahim akan menggunakan Padang A Kompleks Sukan Gong Badak, dekat sini untuk sesi latihan mereka.

"Kita mendapat kebenaran lima kali seminggu untuk guna Padang A bagi tujuan latihan pasukan Terengganu bermula hari ini," katanya kepada Bernama pada Selasa.

Beliau mengulas rungutan Abdul Rahman yang menyalahkan ketiadaan padang rumput sebenar untuk latihan menyebabkan anak buahnya cepat kepenatan sehingga sekadar seri 2-2 menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan Liga Super di sini, Sabtu lepas biarpun Terengganu pada satu ketika mendahului 2-0.

Selain itu, Abdul Rahman juga melahirkan rasa malu dengan situasi itu keranaTerengganu yang ditaja kerajaan negeri, tiada padang latihan menyebabkan hampir kesemua pemain cepat keletihan dan sukar mengharungi perlawanan penuh dengan baik.

Pasukan Terengganu terpaksa menjalani latihan di padang rumput tiruan berikutan padang rumput biasa yang digunakan untuk sesi latihan sebelum ini, sedang menjalani proses pengubahsuaian.

Rentetan kenyataan pengendali Terengganu itu menyebabkan Presiden PBSNT Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid melenting dan menyatakan bahawa isu tersebut sepatutnya dibincangkan di peringkat dalaman dan bukannya menuding jari dengan menghebohkannya di media.

Arpin berkata pihaknya akan meletakkan papan notis bahawa PBSNT akan menggunakan padang tersebut untuk latihan lima kali seminggu dan diharap tiada pihak lain menggunakannya pada hari-hari berkenaan.

"Kita harap masalah ini selesai dan usahlah dipanjangkan," katanya.

Dalam pada itu, Arpin berkata Terengganu akan menampilkan persembahan terbaik untuk mengutip tiga mata penuh apabila berdepan Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 13 Mac ini. 

PBSNT

Artikel Lain