suria

Nicol Kecundang Di Final Terbuka Windy City

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia dari Malaysia, Datuk Nicol Ann David, tewas pada perlawanan akhir Terbuka Windy City 2015 semalam, sekali gus memusnahkan harapannya untu meraih gelaran sulung kejohanan berkenaan.

Nicol tumpas kepada pemain Mesir, Raneem El Weleity 16-14, 10-12, 7-11 dan 7-11 dalam pertarungan 57 minit di University Club of Chicago, Chicago, Amerika Syarikat.

Ini kali kedua bagi kedua-dua pemain bersaing di peringkat akhir selepas Terbuka Cleveland Classic pada 3 Feb yang menjadi medan Nicol memenangi kejohanan pertama bagi 2015.

"Saya berasa begitu gembira dengan kemenangan ini. Ia bukan kejohanan yang mudah bagi saya, dan pujian harus diberi kepada Nicol. Dia bermain sangat baik tetapi saya berbangga dapat meneruskan dan menamatkan perlawanan ini," kata Raneem mengenai kemenangannya yang dipetik laman sesawang www.squashsite.co.uk.

Menurut laman sesawang itu, set pertama berlangsung dalam keadaan sengit mata demi mata sehinggalah Raneem mendahului 10-8 pada suatu ketika tetapi Nicol berjaya menguasai permainan bagi mencatat kemenangan 16-14.

Dalam set berikutnya, Raneem sekali lagi mendahului tetapi kali ini dia menang dengan 12-10.

Pada set ketiga pemain Mesir itu sentiasa mendahului dan menamatkannya dengan 11-7.

Nicol berhempas pulas pada set keempat dan di satu peringkat mendahului permainan namun Raneem berjaya mengetepikan saingan dengan 11-7 untuk meraih gelaran juara.

Skuasy, Windy City

Artikel Berikut

Artikel Lain