suria

FAM: Schmid Diberi Tempoh Setahun Lagi Bukti Kemampuan

KUANTAN: Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Fritz Schmid diberi kata dua agar membuktikan kemampuannya atau berdepan kemungkinan digugurkan.

Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata FAM akan memantau rapi prestasi yang ditunjukkan oleh warga Switzerland itu sebelum memutuskan sebarang tindakan terhadap beliau.

"Kita akan beri dia peluang setahun lagi sebelum kita memutuskan sebarang keputusan dan tindakan ke atasnya.   

"Sekiranya dia gagal menyerlah kita tidak akan teragak-agak gugurkan dia. Schmid hanya seorang Pengarah Teknikal, tidak lebih daripada itu," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pembukaan Mahkota Golf andCountry Club, Khamis.

Tengku Abdullah berkata FAM akan menggugurkan sesiapa sahaja yang gagal membawa sebarang pembaharuan dan kejayaan kepada sukan bola sepak negara termasuk jawatan Presiden FAM itu sendiri.

Sebelum ini akhbar melaporkan banyak pihak mempertikai kredibiliti Schmid,56, yang dikatakan malas turun padang dan gagal membuktikan sebarang kejayaan memberangsangkan bagi skuad bola sepak negara.   

Schmid memiliki sijil kejurulatihan profesional Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan telah menandatangani kontrak selama tiga tahun dengan FAM, pada tahun lepas. 

Sementara itu, Tengku Mahkota Pahang itu mahu skuad Pahang dan Johor DarulTa'zim (JDT) yang mewakili negara pada saingan Piala AFC terus mencipta keputusan terbaik pada kejohanan berkenaan. 

Tengku Abdullah mengucapkan tahniah kepada pasukan Pahang yang berjaya menewaskan kelab Myanmar, Yadanarbon FC 3-2 di Stadium Mandalar Thiri, Myanmar, dalam perlawanan Kumpulan C Selasa lepas. 

Selain itu, Tengku Abdullah juga mengucapkan tahniah kepada JDT yang menewaskan kelab dari India, East Bengal 4-1 dalam saingan Kumpulan F di Stadium Larkin,Johor Baharu pada hari yang sama.   

"Pencapaian membanggakan dilakarkan dua pasukan berkenaan selaku juara Piala Malaysia dan Liga Super musim lepas berupaya mengubah imej bola sepak negara di pentas antarabangsa.  

"Peluang yang terhidang perlu digunakan sepenuhnya oleh pasukan berkenaan untuk membuktikan kelebihan yang mereka miliki di peringkat kebangsaan seterusnya ke pentas antarabangsa," jelasnya.

Tengku Abdullah, FAM, Fritz Schmid

Artikel Lain